UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

ABBA kembali, lagu baru masuki carta

Usia langsung tidak menghalang ABBA, sebuah kumpulan muzik pop terkenal 1970an, kembali dengan single terbaru yang kini berjaya memasuki carta.

Lagu terbaru mereka Don’t Shut Me Down menduduki tempat kesembilan dalam senarai single rasmi 10 terbaik carta muzik United Kingdom berdasarkan penjualan dalam talian dan jumlah penstriman.

Single kedua mereka pula I Still Have Faith In You mendapat tempat ke-14 dalam carta berkenaan.

Ini kali pertama kumpulan legenda Sweden itu tersenarai selepas hampir 40 tahun.

Kali terakhir ABBA tersenarai dalam carta muzik adalah pada Januari 1982 menerusi lagu One Of Us.

Ahli-ahli kumpulan tersebut, yang masing-masing bertaraf jutawan, telah menginjak ke usia 70an. Mereka sebenarnya tidak pernah mengumumkan persaraan tetapi membawa haluan masing-masing selama ini kerana tidak merasa teruja lagi berada di studio setelah mengecapi kejayaan demi kejayaan.

Sementara itu, menurut laporan, ABBA juga bakal mengeluarkan album baharu sekitar November ini.

Kemunculan semula kumpulan itu turut menaikkan kembali lagu-lagu lama mereka ke dalam carta seperti album kompilasi lagu terbaik 1992, ABBA Gold, pada kedudukan kelima.

Di samping itu, kumpulan itu juga bakal mengadakan konsert ABBA Voyage yang mengimbau kembali konsert terbaik mereka pada 1979.

Konsert berkanaan akan diadakan di London Mei tahun depan di mana ahli kumpulan itu melakukan persembahan secara digital menggunakan teknologi hologram.