UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Ahmad Maslan bebas tuduhan gagal isytihar RM2 juta lepas bayar kompaun

Penyelesaian bukan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan - peguam

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia selepas pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersetuju menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad membayar kompaun RM1.1 juta.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh melepas dan membebaskan Ahmad daripada semua pertuduhan, lapor Berita Harian.

Terdahulu, Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq dalam kenyataan, berkata proses penyelesaian itu dibuat mengikut undang-undang melalui proses yang telus dan teratur.

Penyelesaian ini bukan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guam.

“Proses penyelesaian ini tiada kaitan dengan apa-apa faktor politik atau membabitkan mana-mana orang, agensi siasatan dan pendakwaan,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ahmad, 55, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek itu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya.