UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Akhirnya Caprice pulang

Penyanyi rap kontroversi dan aktivis kemanusiaan Caprice pulang ke Malaysia hari ini dan akan menjalani kurantin sebelum menumpukan kepada hal berkaitan perniagaan yang lama tertangguh.

Selepas lebih dua bulan berada di Mesir bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan Caprice akhirnya mengambil keputusan pulang.

Perkara berkenaan dikongsikan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menerusi saluran Telegram miliknya, MudaUmmah: Welcome To Caprice’s Personal Telegram, tengah malam tadi.

“Salam Malaysia! Alhamdulillah setelah dua bulan setengah, mungkin pengembaraan paling gila sejauh ini, akhirnya saya akan pulang ke Malaysia esok (hari ini).

“Saya minta maaf atas kelewatan, saya memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan bahagian tertentu dalam misi saya,” katanya.
Caprice bagaimanapun tidak berkongsi butiran lanjut penerbangan pulang beliau.

Menerusi tampalan yang sama beliau memaklumkan mengenai kiriman barang-barang tempahan pemimat.

Katanya, sebaik tiba dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 termasuk kuarantin, barulah dia akan meneruskan aktiviti perniagaan yang lama tertangguh.

Caprice menjangka bakal menjalani kuarantin selama 10 hari, sekali gus urusan penghantaran tempahan barangan seperti jaket hoodies, tasbih dan buah tangan hanya dapat dilakukan selepas 18 September ini.

“Hoodies Koyak Ke Bro Edisi Terhad hampir siap, tetapi malangnya saya sekarang mengendalikannya sendiri kerana kakitangan lama yang mengambil pesanan dan penghantaran tidak lagi dengan saya,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, penceramah bebas merangkap usahawan itu turut memohon maaf berikutan kelewatan urusan berkenaan disebabkan agak lama meninggalkan perniagaannya itu.

Caprice berada di Mesir sejak 24 Jun untuk cuba menyertai misi bantuan ke Gaza yang bagaimanapun tidak berjaya atas sebab tertentu.