UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Anwar akhirnya pasrah jika tak dapat jadi PM

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata dia sekadar menerima dan menyerahkan kepada takdir sama ada dia akan menjadi perdana menteri suatu hari nanti atau kekal sebagai ketua pembangkang.
Anwar, 74, berkata demikian dalam wawancara dengan Radio ABC Australia ketika dia ditanya apakah dia masih percaya dia boleh menjadi perdana menteri suatu hari nanti.

“Jika melihat kes seperti Kertas Pandora, itu (menjadi perdana menteri) hanya akan menjadikannya lebih mencabar dan sukar.
“Keseluruhan alat kuasa, elit politik, konglomerat dan media akan menolong anda. Oleh itu, saya tidak bimbang tentang perkara itu (menjadi perdana menteri atau tidak suatu hari nanti).
“Saya hanya menjalankan tugas saya, que será será (apa yang hendak terjadi akan terjadi). Sekiranya saya terus menjadi ketua pembangkang, saya terima. Sekiranya saya menjadi perdana menteri, saya akan mengucapkan syukur kepada Tuhan,” kata Anwar.

Anwar telah dua kali hampir menjadi perdana menteri – pertama kali ketika menjadi timbalan perdana menteri pada 1990-an dan seterusnya sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan tahun 2018 hingga awal 2020.