UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Apa jadi pada UK selepas sebulan semua sekatan dilonggarkan ?

A woman holding umbrella crosses a street at the Bank Junction, amid the coronavirus disease (COVID-19) outbreak, in London, Britain, January 5, 2021. REUTERS/Henry Nicholls - RC2M1L98YMBR

Sebulan sudah berlalu sejak England menggugurkan semua sekatan yang dikenakan ekoran penularan Covid-19, satu langkah yang disambut baik sektor perniagaan negara itu tetapi dikritik ribuan saintis yang menganggap itu percubaan berbahaya dan tidak beretika.

Saintis berpendapat peningkatan jangkitan oleh varian Delta dan hakikat bahawa sebahagian besar penduduk UK belum diberi vaksin sepenuhnya akan menjadikan langkah berkenaan terlalu berisiko.

Kerajaan bagaimanapun bertekad meneruskan membuka dan melonggarkan hampir kesemuanya.

Ia tidak lagi melarang percampuran sosial dan membiarkan tempat seperti kelab malam dan stadium sukan dibuka dengan kapasiti penuh mulai 19 Julai. Pelitup muka tidak lagi diperlukan selain di beberapa lokasi tertentu, seperti lapangan terbang dan hospital. Dan mereka yang diberi vaksin sepenuhnya tidak lagi perlu dikuarantin setelah menjadi kontak rapat seseorang yang diuji positif Covid-19.

Apa yang berlaku selepas sebulan? Terbukti sudah, walaupun vaksinasi berfungsi tetapi ada harga tinggi yang harus dibayar – kes meningkat dan kian membimbangkan.

“UK mencatat purata 90 kematian sehari akibat Covid-19. Kelonggaran dan penghapusan sekatan jauh dari kejayaan yang diharapkan,” kata Kit Yates, pengarah bersama Pusat Biologi Matematik di University of Bath.

Walaupun jumlah kematian jauh lebih rendah daripada pada waktu pandemik memuncak, semasa sejumlah 1,300 orang mati setiap hari, pakar seperti Yates menganggarkan jumlah sebenar lebih tinggi.

Dengan kira-kira 800 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital setiap hari, sistem kesihatan awam UK sekali lagi tertekan dan tidak dapat memberikan rawatan bukan kecemasan pada tahap yang diperlukan, kata Yates.

“Jika ada satu pengajaran yang dapat dipelajari dari tindakan UK membuka sekatan ianya adalah vaksinasi bukanlah jalan penyelesaian penuh terhadap masalah ini,” kata Yates kepada CNN.

“Ya, ia memang membantu dan memberi satu perbezaan besar, tetapi jika anda mahu mengatasi masalah ini, harus ada kaedah kawalan kesihatan awam yang telah diuji dan terbukti. Ini adalah seperti penggunaan pelitup muka, pengudaraan yang baik di sekolah dan tempat kerja serta kaedah uji, kesan dan asing yang baik,” tambahnya.

Di England, cadangan untuk para pelajar kembali ke sekolah bulan depan dilihat mempunyai risiko besar memandangkan kebanyakan kanak-kanak tidak diberi vaksin.

Badan pengawas ubat-ubatan di Britain, MHRA, telah mempersetujui suntikan Pfizer dan Moderna untuk kanak-kanak dan remaja berusia 12 tahun ke atas, tetapi hanya remaja yang mempunyai masalah sahaja yang akan diberikan vaksin berkenaan.