UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Arab Saudi mula terima semula Jemaah Umrah Antarabangsa

Hanya 18 tahun ke atas dan menerima suntikan vaksin penuh dibenarkan

Pihak berkuasa Arab Saudi mula membuka semula ibadah umrah untuk jemaah antarabangsa bermula 10 Ogos, lapor gulfnews.com.

Langkah itu dibuat susulan kejayaannya mengendalikan ibadah haji untuk jumlah jemaah yang terhad buat dua tahun berturut-turut akibat pandemik Covid-19.  

Ibadah haji yang baru berakhir, hanya dibuka kepada warga Arab Saudi dan warga asing yang menetap di negara itu.

Ibadah pertama selepas musim haji tahun ini, bermula tengah malam semalam, 25 Julai, waktu Arab Saudi untuk warga negara itu dan penetap warga asing, gulfnews.com memetik kenyataan agensi berita SPA.

Kerajaan Arab Saudi mensyaratkan, setiap ibadah umrah perlu diselesaikan dalam tempoh tiga jam dengan jumlah jemaah yang terhad dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, menurut blog Harmain Sharifain yang menyampaikan berita khusus untuk dua tanah haram, semua negara boleh menghantar jemaah secara penerbangan terus kecuali sembilan.

Negara terbabit ialah India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan dan Lubnan yang jemaahnya perlu di kuarantin selama 14 hari di negara ketiga sebelum dibenarkan masuk ke Arab Saudi.

Jemaah terhad kepada mereka berusia 18 tahun ke atas dan juga disyaratkan mendapat suntikan penuh vaksin Pfizer, Moderna, Astrazeneca atau J&J.

Mereka yang menerima dos penuh vaksin buatan China disyaratkan mendapat suntikan tambahan vaksin di atas.