UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Arab Saudi sedia benarkan 120,000 tunai umrah sehari

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi tidak berdiam diri, walaupun pandemik Covid-19 masih ditahap membimbangkan, dan terus mencari cara bagi membolehkan ibadah umrah dibuka kepada lebih ramai jemaah.

Terbaru, kementerian itu berkata ia merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga mencecah 120,000 orang sehari, berbanding 60,000 orang ketika ini.

Setiausaha kementerian itu, Abdulaziz Wazan dalam wawancara di televisyen, berkata terdapat langkah segera untuk meningkatkan kapasiti umrah harian kepada 90,000 jemaah sebelum dinaikkan menjadi 120,000 jemaah dan ia akan dilakukan menerusi kerjasama dengan pihak yang kompeten.

Dipetik di dalam Saudi Gazette, beliau berkata, kebenaran umrah dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi meliputi solat di Masjidil Haram di Makkah, mengunjungi Masjid Nabawi di Madinah dan bersolat di Al Rawda Al Sharifa di sana.

“Syarikat Arab Saudi yang menawarkan perkhidmatan kepada jemaah umrah bersiap sedia memberikan kualiti perkhidmatan terbaik,” katanya.

Arab Saudi mula menerima permohonan umrah dari luar negara untuk jemaah yang divaksin pada 9 Ogos lalu.

Pada masa yang sama Direktorat Jeneral Pasport Arab Saudi (Jazawat) dilaporkan selesai melakukan persiapan teknikal bagi menerima dan menyediakan perkhidmatan diperlukan jemaah umrah dari luar negara.

Direktorat Pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah diarah bersedia menerima penerbangan membawa jemaah asing selain bersedia memproses kemasukan ke negara itu dengan lancar sesuai dengan langkah pencegahan mengekang penularan COVID-19.