UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

AS kata Bezos dan Branson bukan angkasawan…Sheikh Muszaphar?

Blue Origin yang membawa Bezos ke angkasa lepas

Apa yang diinginkan oleh Jeff Bezos dan Sir Richard Branson serta anak-anak kapal mereka iaitu untuk bergelar sebagai angkasawan nampaknya belum kesampaian walaupun sudah merasai pengalaman berada di angkasa lepas.  

Dalam satu langkah yang mungkin membuat penjelajah angkasa yang kaya raya berkenaan tersentak, kerajaan Amerika Syarikat berkata mereka sebenarnya belum layak dipanggil angkasawan. Ini berikutan keputusan Amerika memperketatkan definisi perkataan “angkasawan”.  

Peraturan baru Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengatakan bahawa calon angkasawan mesti menjadi sebahagian daripada kru penerbangan dan memberi sumbangan kepada keselamatan penerbangan angkasa lepas. Jadi berdasarkan ini, bilionair seperti Bezos dan Branson belum lagi menjadi angkasawan di mata kerajaan Amerika.

Pindaan peraturan berkenaan merupakan kali pertama dibuat sejak program sayap FAA bermula pada tahun 2004 dan ia diputuskan pada hari yang sama Bezos terbang dengan roket Blue Origin miliknya ke angkasa lepas. Untuk memenuhi syarat sebagai angkasawan komersil, pelawat angkasa mesti menempuh jarak 50 batu (80km) di atas permukaan bumi, yang mana berjaya dicapai Bezos dan Branson. 

Namun, di samping ketinggian, agensi itu mengatakan calon angkasawan juga mesti “menunjukkan aktiviti semasa penerbangan yang penting untuk keselamatan awam, atau menyumbang kepada keselamatan penerbangan ruang angkasa manusia”.

Dalam kenyataannya, FAA menambah perubahan dibuat supaya program seperti itu lebih sesuai dengan peranan untuk melindungi keselamatan awam semasa penerbangan ruang komersial.

Sebelum Bezos, Branson pada 11 Julai terbang dengan kapal angkasa Virgin Galactic ke pinggir angkasa lepas sebagai ujian sebelum membenarkan pelanggan pula naik tahun depan.

Apakah takrifan terbaru FAA AS itu terpakai kepada angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang dilancar ke angkasa lepas menerusi program Rusia?

Sebagai rekod, Dr Sheikh Muszaphar, seorang pakar bedah ortopedik, berlepas ke International Space Station menaiki  Soyuz TMA-11 menerusi Expedition 16 pada 2007 di bawah perjanjian komersial di antara kerajaan Malaysia dan Rusia.

Angkasawan negara itu menghabiskan sembilan hari di angkasa lepas membuat uji kaji saintifik sebelum kembali ke bumi dengan kru Expedition 15.