UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Baim Wong kejutkan pengawalnya

Baim Wong, kiri dalam skrin komputer, mengunjungi ibu kepada pengawalnya yang tertunduk sedih apabila ditunjukkan video ini (kanan).

Aktor Indonesia yang turut terkenal di Malaysia, Baim Wong, sekali lagi menyentuh jiwa dengan sikap pemurah dan prihatinnya. Pemilik nama sebenar Muhammad Ibrahim itu dipuji ramai apabila senyap-senyap membaik pulih rumah seorang pengawal keselamatan pejabatnya baru-baru ini.

Melalui video yang dimuatnaik di YouTube Baim Paula, Baim membuat kejutan pergi ke rumah orang tua pekerjanya itu untuk melihat keadaan rumahnya.

Kelihatan rumah tersebut agak usang dan diperbuat daripada rotan.

Setibanya Baim ke rumah itu, ternyata kedua orang tua kepada pekerjanya tidak mengenalinya dan selepas berbual seketika barulah Baim memperkenalkan diri.

Ternyata mereka terkejut dengan kehadiran majikan kepada anaknya itu.

Sebelumnya, orang tua kepada pengawal keselamatan tersebut yang dikenali sebagai “Pak Nurul” sempat menceritakan anaknya mendapat pekerjaan di Jakarta sebagai pengawal keselamatan kira-kira lina bulan lalu di pejabat Baim Wong, namun mengakui bahawa dia tidak mengetahui bahawa yang datang ke rumah adalah Baim sendiri.

Baim juga sempat memuji bahawa pengawal keselamatannya baik, rajin solat dan bacaannya juga bagus tambahan pula kedua orang tuanya menyatakan dia sebelum ini pernah belajar di sekolah pondok.

Baim memberitahu kedatangannya adalah mahu melihat keadaan rumah mereka yang sebelum ini dia terlihat gambar serba kekurangan membuatkan terpanggil untuk datang.

Baim menyatakan dia ingin membaik pulih rumah tersebut membuatkan pasangan warga emas tersebut terkejut dan berterima kasih atas kebaikan majikan anak mereka.

Baim juga menyatakan bahawa anak kepada pasangan warga emas tersebut tidak tahu pemergiannya ke kediamannya dan meminta agar tidak memberitahu kepada anaknya kerana ingin membuat kejutan.

Setibanya di Jakarta, Baim membuat kejutan kepada pengawal keselamatan tersebut dengan menyatakan akan membaik pulih rumahnya membuatkan pekerjanya itu terkejut lantas melakukan sujud syukur.

Terdahulu, Baim juga pernah membaik pulih rumah milik pemandu peribadinya yang dikenali sebagai Pak Selamet.

Baim kini dalam proses menyiapkan kediaman impiannya yang sebelum ini tergendala kerana terdapat beberapa masalah menyebabkan proses pembinaan dihentikan seketika.

Video yang dimuatnaik ke saluran You Tube Baim Paula tersebut telah mencapai lebih 3 juta tontonan sejak dimuatnaik 4 hari yang lalu dan sempat menjadi sohorkini (trending).

Baim yang juga suami kepada Paula Verhoaven dan ayah kepada Kiano Tiger Wong memang terkenal dengan jiwa sosialnya kerana berkongsi aktiviti bersedekah melalui saluran YouTube.