UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Beberapa kampung di Yan terputus bekalan air bersih

Ketika penduduk Yan, Kedah yang dilanda banjir besar akibat kepala air dari Gunung Jerai memikirkan nasib mereka, penduduk Kg Acheh, Kg Setol dan Dusun Manggis pula kini ketiadaan sumber air bersih akibat fenomena kepala air yang berlaku 18 Ogos lalu.

Pengerusi Masyarakat Acheh Malaysia (IMAM) Jazni Ghani berkata sistem air bersih yang dihadiahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia lama dahulu kini rosak dan mereka tidak dapat membetulkan pam yang berada berhampiran air terjun di atas gunung itu.

Sistem air bersih rosak sepenuhnya dan dipenuhi selud menyebabkan beratus penduduk terpaksa menggunakan air sungai yang berlumpur untuk kegunaan harian.

“Mereka yang tinggal di kawasan bukit terpaksa memikul bekas air dari tebing sungai. Kami pula tidak dapat pergi ke tempat pam air yang terletak lebih kurang empat kilometer kerana keadaan jalan yang rosak teruk,” katanya ketika dihubungi Updates Malaysia hari ini 23 Ogos.

Beliau berharap ada pihak yang dapat membantu mereka untuk membaiki pam dan seluruh sistem itu dan memulihkan bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas dengan segera.

“Kami faham keadaan di atas memang terjejas teruk, tetapi kami perlukan air bersih untuk kegunaan harian,” katanya.

Menceritakan keadaan semasa berlaku, Jazni berkata beliau berada di rumahnya berhampiran Kem KAMC dan turun ke tebing sungai untuk melihat keadaan.

“Air seperti bergulung dari atas dan memang menakutkan. Selepas reda, kawasan Kem, iaitu tempat beriadah dan homestay diliputi pasir setebal dua hingga tiga kaki,” katanya.

“Kami masih belum dapat masuk ke dalam bangunan yang dimasuki air dan pasir,” katanya. Bangunan di atas bukit bagaimanapun tidak terjejas.

Seorang penduduk Kg Acheh, Abdul Rahman Yasin berkata inilah kali pertama fenomena seperti ini berlaku dan kelihatan seperti tsunami kecil.

“Pokok-pokok tumbang yang dibawa arus bertaburan di sana sini,” beliau berkata.

Di dalam kejadian itu, lima orang disahkan maut dan ditemui di sekitar kawasan Gunung Jerai.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melawat beberapa kawasan yang terjejas dan turut diberi taklimat oleh Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Polis Negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Keadaan ketika air dari kawasan air terjun Gunung Jerai mencurah-curah