UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Belanjawan 2022 sasar bantu golongan terkesan pandemik

Belanjawan 2022 akan memberikan fokus kepada rakyat berikutan masih ramai yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, walaupun banyak sektor ekonomi sudah dibuka tetapi ada rakyat yang semakin susah berikutan kesan berpanjangan daripada pandemik tersebut serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh.

“Minggu depan MOF (Kementerian Kewangan) akan bentang (maklumat lanjut berkaitan belanjawan),” katanya semasa wawancara khas bersama editor kanan media semalam.

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun ketika ini keadaan rakyat sudah semakin baik dengan penurunan kes Covid-19 yang membolehkan banyak sektor ekonomi dibuka semula.

“Rakyat dah dapat bernafas sikit bila kita buka (sektor) ekonomi dan saya jangka menjelang Disember dah boleh buka semua sekali. Saya percaya, ‘feel good’ (faktor)) bila kes makin menurun. R-naught makin menurun.

“Cuba bayangkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, kalau ikutkan dulu mula-mula tak tahu bila boleh buka (sektor ekonomi)… sekarang dah Fasa Tiga (Pelan Pemulihan Negara) dan this is ‘the heart centre’ (ini adalah bahagian paling penting).

“Di Malaysia, ekonomi Lembah Klang adalah tumpuan. Saya ingat lebih 70 peratus tertumpu di sini (Lembah Klang). Jadi kita dah buka perniagaan, kilang, semua kita dah buka. Saya rasa ‘feel good’ itu semakin ada dalam kalangan rakyat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pembentangan Belanjawan 2022 akan menumpukan kepada pelaksanaan inisiatif jangka pendek yang dijajarkan dengan dasar dan strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi mencapai matlamat Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan.