UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

BTS kehilangan iklan di Pakistan

Kumpulan muzik Korea Selatan menjadi kegilaan peminat KPop seluruh dunia dari ceruk rantau mana sekalipun.

BTS cukup popular di banyak negara seperi Amerika Syarikat, England, Jepun, Malaysia dan Pakistan juga tidak ketinggalan.

Bagaimanapun di Pakistan, tindakan seorang peminat tegar BTS memasang papan iklan saiz besar menampilkan Jungkook menimbulkan rasa tidak senang hati segelintir pihak.

Ia di pasang sempena hari jadi Jungkook, salah seorang anggota BTS yang paling digilai peminat.

Papan iklan yang dipasang di Islamabad itu telah diturunkan kerana didakwa mempromosikan aktiviti homoseksual.

Asalnya papan iklan itu sudah mendapat kebenaran Dewan Perniagaan Gujranwala untuk dipasang.

Bagaimanapun, selepas beberapa jam dinaikkan, papan iklan itu diarah untuk diturunkan selepas seorang anggota parti politik Islam, Jamaat-e-Islami menyuarakan bantahan.

Papan iklan tersebut sepatutnya kekal di lokasi tersebut selama dua hari.

“Kami menerima banyak rungutan daripada masyarakat setempat yang mengatakan BTS mempunyai pengaruh negatif ke atas golongan muda di sini.

“Ada yang mendakwa kumpulan ini mempromosi dan menyokong aktiviti homoseksual. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” ujar salah seorang ahli politik, Furqan Aziz Butt.

Tambah Furqan, papan iklan itu juga tidak mendatangkan sebarang faedah buat penduduk setempat kerana BTS tidak menjual atau memiliki sebarang produk di Pakistan.