UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Cakap-cakap “privatisation” Serba Dinamik timbul

Keadaan pasaran sekarang sukar pengekalan penyenaraian kerana tidak beri nilai diharapkan

Apakah ada kemungkinan pemilik saham utama akan mengambil tindakan nyahsenarai saham Serba Dinamik Holdiings Berhad dari Bursa Malaysia?

Prospek itu dibangkitkan platform media Focus Malaysia Jumaat lalu dan blogger depakatalah hari ini.

Baca di sini:

https://depakatalah.blogspot.com/2021/09/serba-dinamik-goes-for-privatisation.html

Menurut kedua-dua laporan terbabit, kemungkinan langkah nyahsenarai atau privatisation tidak boleh diketepikan.

Ini adalah kerana penilaian saham Serba ketika ini agak rendah berbanding purata industri, walaupun asas perniagaan syarikat itu semakin kukuh.

Pengukuhkan perniagaan Serba dapat dilihat apabila syarikat itu memperolehi 15 kontrak baru dalam 10 projek Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) di Malaysia dan Indonesia.

Selain itu ia memperolehi lima kontrak EPCC di Malaysia dan Nepal.

Kontrak-kontrak itu, menurut PublicInvestment Bank Bhd dalam laporannya pada 12 Ogos, bernilai RM386.3 juta dan akan meningkatkan nilai jumlah kerja (order book) Serba kepada RM18 bilion.

Namun, saham Serba didagangkan pada tiga kali PE (harga-ke-pendapatan), berbanding purata industri enam hingga tukuh kali, manakala nilai NTA hanya 1.05.

“Berikutan itu pada nilai semasa, tidak mengejutkan jika pemegang saham utama Serba menimbangkan untuk menyahsenarai  saham syarikat itu,” Focus Malaysia memetik seorang pemerhati pasaran yang tidak dinamakannya.

“Langkah nyahsenarai tidak boleh diketepikan berikutan ia memberi prospek pemegang saham utama syarikat itu mendapat pulangan yang lebih baik,” kata pemerhati pasaran itu.

Lima pemegang saham utama Serba sehingga 10 September ialah Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan serta pengasas, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah (20.9%), pengarah bukan eksekutif dan bukan bebas Datuk Abdul Kadier Sahib (16.18%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja  (4.97%), Kumpulan Wang Persaraan (4.53%) dan Permodalan Nasional Bhd (4.34%).

Blogger depakatalah berkata langkah nyahsenarai bukan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya YTL Group, telah membuat beberapa kali langkah nyahsenarai terhadap anak-anak syarikatnya sejak beberapa tahun lalu, dengan terbaru ialah cadangan nyahsenarai YTL Land & Development Bhd pada 2019 oleh YTL Corp.

Sebelum itu, YTL Corp menyahsenarai YTL Cement pada 2011 dan YTL E-Solutions Bhd pada 2016. 

“Semuanya bergantung kepada penilaian. Dalam keadaan pasaran sekarang, agak sukar bagi syarikat untuk kekal penyenaraiannya kerana tidak menikmati penilaian yang diharapkannya,” kata blogger itu.