UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Debaran Langkawi menanti pelancong

Pembukaan Pulau Langkawi kepada pelancong tempatan yang dijadualkan esok 16 September memberi debaran kepada pengusaha industri pelancongan di sini.

Ini kerana ia menjadi peristiwa penting sebagai penanda aras kepada pembukaan semula industri pelancongan secara besar-besaran dalam negeri.

Oleh itu, adalah penting bagi pelawat yang sudah menempah hotel, chalet dan homestay di pulau legenda ini untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak virus Covid-19 dari menular.

Menurut Timbalan Pengarah Tourism Malaysia (Utara) Yoganthiran Manickam, segala persiapan sedang dibuat untuk menyambut ketibaan pelancong tempatan bagi merancakkan semula industri yang paling teruk terjejas akibat pandemik yang tular di seluruh dunia sejak tahun lalu.

“Pihak pengusaha pelancongan di sini telah dan akan melakukan yang terbaik. Terpulang kepada pelancong yang bakal tiba hujung minggu ini, bersempena cuti Hari Malaysia Khamis ini,” katanya.

Jika semuanya berjalan lancar di Langkawi, tempat-tempat pelancongan lain akan dibuka secara berperingkat untuk merancakkan lagi ekonomi negara.

Yoganthiran memberitahu Updates Malaysia hampir kesemua penduduk dewasa Langkawi dan pekerja industri pelancongan sudah menerima dua dos vaksin.

Ditanya sama ada Pulau Langkawi dijangka sesak, beliau berkata ramai yang masih mengambil pendirian tunggu dan lihat.

“Ramai yang bertanya tentang tempahan hotel dan kereta sewa, tetapi jumlah pelancong dijangka terkawal.

“Cara melancong pun sudah berubah, kebanyakan rakyat Malaysia kini mencari tempat yang tidak ramai orang,” katanya.

Sejak awal bulan September, pihak Tourism Malaysia sibuk membuat persiapan seperti mengadakan kempen dan sebagainya untuk menarik pelancong ke pulau ini melalui hebahan di radio, televisyen dan dalam talian.

Beliau menjangka jumlah pelancong akan bertambah bulan hadapan bergantung kepada keadaan.

Terdahulu, Updates Malaysia melaporkan Pulau Pangkor dijangka dibuka untuk pelancong tempatan pada 1 November.

Kerajaan Perak kini menanti lampu hijau dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk meneruskan usaha ini.

Baca di sini.