UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Dermawan cacat penglihatan juga jurugambar berkaliber

Dahulunya beliau seorang ejen hartanah berprofil tinggi di Bandaraya Johor Baru, tetapi “tewas” kepada penyakit glukoma yang menyebabkan dia buta sebelah mata kiri dan tinggal hanya 10 peratus penglihatan di mata kanan pada tahun 2013.

Beliau juga seorang jurugambar yang dikenali di JB dan walaupun memerlukan tongkat untuk ke sana ke sini, Tan Chee Kiong masih tetap membawa kamera Pentaxnya ke mana-mana dan aktif mengambil gambar.

Ditanya bagaimana beliau mengambil gambar, Tan yang berusia 47 tahun berkata dia menggunakan telinga untuk melihat persekitaran.

“Dengan telinga, saya dapat “melihat” pergerakan subjek saya. Dia tersenyum dan saya tekan butang, saya juga dapat merasakan pergerakan mereka dan “nampak” sama ada mereka sudah bersedia atau tidak,” katanya di dalam temu bual dengan Updates Malaysia.

Tan Chee Kiong

Katanya, kecacatan yang dialami tidak sedikit pun menjejaskan semangatnya. Tan kini sibuk membantu mereka yang kurang berkemampuan dan terkesan dengan Covid-19 di JB dengan memberi sedekah bahan makanan.

Beliau bersama seorang rakan Mohd Nor Saiful yang juga mengalami cacat penglihatan giat bergerak ke sana sini menghantar makanan, tidak kira bangsa, termasuk orang Asli.

“Grab kan ada. Mudah untuk kami bergerak ke sana ke sini. Saya pun sudah sediakan Google maps untuk memudahkan pergerakan,” katanya.

Menceritakan nasib beliau, Tan berkata pada 2013, dia mula perasan yang dia tidak reseptif kepada warna merah ketika memandu dan hampir sahaja berlaku kemalangan kerana tidak nampak lampu isyarat merah atau apabila kereta depan membrek.

Pertemuan dengan doktor pakar mengesahkan penyakit glukoma yang semakin meruncing dan bermulalah kehidupan sebagai OKU.

Tetapi Tan dan rakannya Mohd Nor tidak pernah menyesali nasib yang menimpa, sebaliknya dengan pertolongan dari Yayasan Kuok dan rakan-rakan, mereka berdua dapat menyalur bantuan kepada yang memerlukan.

Setakat ini, mereka telah membantu lebih dari 200 keluarga dan Tan lebih menekankan usaha mencari peluang pekerjaan untuk mereka. “Janganlah bagi bantuan jangka pendek, saya cuba membantu jangka panjang dengan mencari pekerjaan yang sesuai.”

Beliau yang pernah menjawat presiden bertauliah Kelab Lion berkata ramai yang pada mulanya menyangka beliau bergurau apabila memberitahu bahawa dia seorang jurugambar.

“Tetapi setelah melihat hasil, mereka kagum. Saya juga boleh berwhatsapp dengan bantuan skrin 54 inci,” katanya sambil ketawa.

Bapa kepada dua orang anak ini berkata beliau lebih suka bergerak secara berpasukan dan masing-masing bersikap rendah diri menghadapi penerima yang bermacam ragam.

“Tidak salah bagi kita memohon maaf walaupun bukan silap kita. Sikap merendah diri itu harus ada di dalam setiap kita,” katanya.

Baru-baru ini, usaha murni Tan dan Mohd Nor mendapat liputan akhbar ketika menyampaikan bantuan kepada 40 keluarga Orang Asli di Teluk Jawa, Permas Jaya.

Mereka memilih keluarga di sini sebagai bantuan Merdeka kerana faham dengan keadaan penduduk yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Mereka yang kebanyakannnya nelayan gembira dengan kehadiran kami kerana jarang menerima tetamu dari luar.

“Dahulunya, restoran-restoran di bandaraya JB membeli secara pukal tangkapan mereka, tetapi restoran pun tidak beroperasi dan pendapatan mereka terjejas,” kata Tan yang menegaskan mereka mengikut SOP ketat di dalam menjalankan tugas.

Gambar Ehsan NST…Tan Chee Kiong bersama rakannya Mohd Nor di perkampungan orang Asli Permas Jaya
Di antara gambar yang diambil oleh Tan, walaupun cacat penglihatan, kelihatan menarik