UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

‘DG Hisham China’ dituduh setuju idea pihak asing

Hanya kerana memberikan idea dan pandangan, seorang doktor terkemuka di China dituduh menyokong idea pihak asing, satu kesalahan berat di negara itu.

Asalnya beliau disiasat kerana melakukan plagiat, beberapa minggu selepas membuat hantaran di media sosial mempersoalkan strategi toleransi sifar negara itu mengawal wabak Covid-19.

Beijing berjaya mengawal wabak yang kali pertama muncul di Wuhan akhir 2019 melalui sekatan ketat, penutupan sempadan dan kempen ujian besar-besaran.

Namun, varian Delta berjaya menembusi China apabila mencatat jangkitan tempatan dalam jumlah yang rendah, hingga mendorong pihak berkuasa mengenakan semula sekatan.

Doktor berkenaan, Zhang Wenghong, yang digambarkan oleh media negara sebagai ‘Fauci China’ atau dalam konteks Malaysia “DG Hisham China”, menyatakan negara harus mencari jalan untuk belajar hidup dengannya.

“Cara yang akan dipilih oleh China di masa depan akan membantu menjalin komunikasi dengan dunia dan kembali kepada kehidupan normal sambil melindungi warga negara dari ketakutan terhadap virus,” tulis Wenhong di Weibo.

Akibat cadangannya itu, Wenhong mendapati dirinya dituduh ‘memenuhi kehendak idea asing’.

Hantaran di Weibo itu juga menuduh Wenhong meniru tesis kedoktorannya yang diterbitkan dua dekad lalu.

Semalam, Universiti Fudan di Shanghai menyatakan pihaknya maklum kritikan berkenaan dan melaksanakan siasatan terhadap ijazah Wenhong pada 2000.

Ahli akademik dan saintis tidak berpuas hati dengan Wenhong, di sebuah negara di mana semua maklumat yang dilarang berkaitan dengan wabak itu sangat sensitif dan boleh menyebabkan tangkapan serta kempen pemerasan di media sosial.