UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

DG Hisham: Penerima dos lengkap jangan leka selepas diberi “hak istimewa”

Penerima vaksin lengkap, perlu ada disiplin tinggi untuk tidak menyalahgunakan kelonggaran - Dr Noor Hisham

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sekali lagi mengeluarkan peringatan kepada penerima dos lengkap agar kekal menjaga SOP walaupun sudah diberi kelonggaran pergerakan.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata kelonggaran- termasuk dine-in dan bersukan-  yang diberi kepada penerima dos lengkap di negeri Fasa Satu adalah atas alasan ekonomi dan bukan kesihatan.

Berikutan itu, beliau menasihatkan penerima dos lengkap kekal patuh SOP. Peringatan beliau itu sebelum ini mengelirukan netizen yang bertanyakan adakah tahap vaksinasi lengkap negara melebihi 50% sekarang belum boleh dianggap selamat.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggunakan alasan itu untuk melonggarkan sekatan di negeri fasa satu yang ditafsir oleh setengah pihak seolah-olah kurang dipersetujui Dr Noor Hisham.

Dalam ciapan twitter hari ini, Ketua Pengarah itu yang menggunakan “handle” DGHisham mengingatkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin supaya tidak menyalahgunakan apa yang beliau menganggap “hak istimewa” atau kelonggaran sekatan yang diberikan.

“Sekiranya kita leka, segala kerja keras & keuntungan yg dicapai di negara ini akan disia-siakan,” katanya.

“Kita perlu memastikan kadar transmisi serendah mungkin bagi mencegah penyebaran varian atau munculnya varian baharu.

“Bagi individu yang sudah menerima vaksin lengkap, perlu ada disiplin yang tinggi untuk tidak menyalahgunakan hak istimewa yang diberikan,” tambah @DGHisham mengulas komen pembaca.

Komen pada ciapan DGHisham itu mencerminkan sentimen rakyat yang berbelah bahagi dengan satu kelompok yang mahu ekonomi negara rancak semula dengan kelonggaran dan satu lagi yang mahu sekatan pergerakan diteruskan.

Namun kalau sebelum ini ramai yang berpendapat sinis terhadap peringatan @DGHisham, kali ini ramai yang menyokong.