UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Dine-in, sukan dan pasar malam dibenarkan semula di negeri Fasa Satu

Kelonggaran dibenarkan setelah perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang melebihi 50 peratus.

Negeri-negeri dalam Fasa Satu dilonggarkan beberapa sekatan akitiviti ekonomi dan sosial, termasuk makan di restoran (dine-in) dan bersukan tanpa sentuhan, bermula esok.

Perniagaan pasar malam dan pasar minggu juga dibenarkan dibuka semula.

Bagaimanapun, sekatan berkenaan hanya dilonggarkan bagi mereka yang sudah menerima vaksin lengkap, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan.

Kelonggaran berkenaan dibenarkan setelah mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang telah melebihi 50 peratus. 

“Pencapaian ini adalah lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu 31 Ogos 2021,” kata kenyataan itu memetik Perdana Menteri Sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).

Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus. 

Pada masa yang sama, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi Hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik. 

Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun. 

Situasi ini dilihat selari dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang  yang memberangsangkan iaitu 73.8 peratus.

Apabila liputan imunisasi meningkat,  kes-kes COVID-19 yang perlu dimasukan ke ICU mula menunjukkan trend mendatar dan diharapkan akan menurun, kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Sidang Khas MKN pada hari ini bersetuju dilonggarkan untuk negeri dalam Fasa Satu beberapa sekatan akitiviti ekonomi dan sosial, termasuk makan di restoran (dine-in) dan bersukan.

Bagaimanapun, individu yang telah lengkap vaksinasinya perlu memenuhi kriteria-kriteria berikut:

a) Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Contohnya Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan

b) Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Contohnya Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Kemudahan-kemudahan tambahan yang dibenarkan bagi sektor sosial secara amnya adalah seperti berikut:

– Aktiviti Dine-In 

MKN mengingatkan pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik. 

Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat. 

– Aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor).

Aktiviti itu dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house juga dibenarkan selaras dengan kebenaran dine-in. 

Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.

Aktiviti yang dibenarkan juga termasuklah perkelahan dan perkhemahan. Penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

Sidang Khas MKN juga bersetuju memberikan kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi Fasa 1 PPN dan seterusnya. 

Kemudahan yang dibenarkan secara amnya adalah seperti berikut:

– Operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu 

Pihak penguatkuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.