UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Ebit Lew buat Laporan Polis, nafi Dakwaan

Ustaz Ebit menjawab soalan wartawan selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini, 21 Julai.

Pendakwah terkenal Ebit Lew membuat laporan polis berkaitan dakwaan yang dibuat berhubung isu misi kemanusiaan beliau di Semenanjung Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Misi kemanusiaan berkenaan  hangat diperkatakan apabila penyanyi dan aktivis Caprice membuat kenyataan menegur beberapa perkara mengenainya yang pada pendapatnya tidak kena. 

Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli bagaimanapun kemudiannya telah membuat permohonan maaf. 

Ebit  tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada petang tadi, 21 Julai untuk membuat laporan polis berkenaan, bersama peguamnya.

Selain Caprice, seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau dikenali sebagai Nadir Al-Nuri juga tampil membuat penjelasan berhubung isu misi kemanusiaan oleh Ebit. 

Nadir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia, mendakwa pasukan misi Ebit tidak menggunakan khidmat NGO tempatan di Gaza, sebaliknya menggunakan sebuah syarikat bagi menguruskan kemasukan rombongannya.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan, Ebit berkata dalam laporan polis tersebut beliau menamakan beberapa individu antaranya Nadir Al-Nuri, Caprice dan beberapa nama lain.

Ebit enggan menperincikan dakwaan yang dibuat terhadapnya selain berkata beliau akan berbuat demikian pada masa terdekat.

Pendakwah itu menafikan segala yang didakwa ke atasnya berhubung rombongannya ke Palestin baru-baru ini dan berkata:

“Saya pergi ke Gaza dengan duit sendiri …saya tidak pernah membuat tabung mengutip derma tentang Gaza atau Palestin.”

Ebit berkata beliau bersedia menunjukkan bukti menjawab segala tuduhan dan juga rela melihat bukti yang mungkin ditunjukkan oleh mereka yang membuat tuduhan.