UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Emas No 2 dari Liek Hou

Jaguh badminton para, Cheah Liek Hou, mengubati hati rakyat Malaysia yang berduka beberapa hari lepas apabila atlet lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli terlepas pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Liek Hou, 33, menghadiahkan pingat emas kepada negara apabila memenangi perlawanan akhir badminton kategori SU5 kira-kira jam 4.00 petang tadi.

Beliau cemerlang menewaskan pemain nombor satu dunia yang juga musuh tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi.

Kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 33 tahun berkenaan menjadi penyumbang emas kedua kontinjen negara selepas jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin memenangi emas pertama minggu lalu.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama sukan badminton dipertandingkan di Sukan Paralimpik.

Dengan kejayaan itu, Liek Hou yang dibimbing Datuk Rashid Sidek akan menerima ganjaran sebanyak RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Liek Hou merupakan pemenang 11 kali (kedua-dua acara perseorangan dan bergu) Kejohanan Dunia Para-Badminton (Kelas SU5).

Beliau yang mula bermain badminton ketika berusia sembilan tahun, dilahirkan dengan bahu kanan yang lumpuh, dan tidak dapat mengangkat lengannya di atas bahu.