UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Emma Raducanu boleh muncul atlet wanita pertama jadi bilionair

Emma Raducanu menunjukkan iklan Nike yang memaparkan gambarnya di New York

Sebagai juara US Open Sabtu lalu, pemain tenis Britain, Emma Raducanu memenangi AS$2.5 juta.

Hadiah wang tunai itu ialah lapan kali ganda daripada jumlah yang pernah dimenangi oleh remaja 18 tahun dari Bromley, England itu.

Namun pakar pemasaran sukan mengunjurkan Emma boleh meraih AS$100 juta dalam perjanjian tajaan untuk mempromosi produk global dalam setahun akan datang.

Malah berikutan latar belakangnya sebagai kacukan Eropah-China, Emma dijangka menarik minat jenama global untuk mempromosikan produk mereka dan meraih lebih AS$1 bilion sepanjang kariernya.

“Jenama besar dunia akan mengetuk pintu Emma dan perjanjian tajaan mewah dijangka menyusul untuk mempromosi produk meliputi fesyen, barang kemas, kosmetik, produk jagaan kulit dan rambut,” kata Jonathan Shalit yang mengetuai agensi bakat di London kepada CNN.

“Jenama dari China akan menaja Emma untuk mempromosi produk mereka di pasaran global dan jenama antarabangsa pula mahukan Emma untuk mempromosi produk mereka di China,” kata Simon Chadwick, profesor Industri Sukan Eurasia di Emlyon Business School di Perancis.

Emma mengalahkan remaja 19 tahun dari Kanada, Leylah Fernandez 6-4, 6-3 dalam final terbuka AS itu Sabtu lalu untuk muncul pemenang acara Grand Slam termuda sejak pemain tenis Rusia Maria Sharapova menjuarai Wimbledon pada 2004 pada usia 17 tahun.

Emma memeluk piala selepas menjuarai US Open di New York, Sabtu lalu

Selepas kemenangan itu, Emma mengucapkan terima kasih kepada peminatnya dalam bahasa Mandarin yang lancar melalui satu klip video pendek.

Klip video itu menjadi viral di China dengan tontonan 600 juta di China dan dikongsi jutaan kali, lapor Daily Mail UK.

Malah, hashtag “remaja 18 tahun Cina menang US Open” menjadi trending di platform media sosial China Weibo dengan dibaca 200 juta kali dalam masa 24 jam.

Ibu Emma, Renee atau nama asalnya Dong Mei Zhai membesar di Shenyang, China, sebelum berpindah ke Toronto, Kanada di mana dia bertemu suaminya Ian Raducanu yang berasal dari Romania.

Emma semasa kecil bersama ibunya

Keluarga itu kemudian berpindah ke England ketika Emma berusia 2 tahun.

Emma yang merupakan seorang pelajar pintar, selain bahasa Inggeris, fasih dalam bahasa Mandarin dan Romania kerana sering menziarahi datuk dan neneknya di China dan Romania.

Netizen di China yang menggelar Emma “gadis Dongbei”, merujuk kepada tempat asal ibunya, dituduh Daily Mail sebagai mencuba mengambil Emma sebagai “orang mereka.”

“Mungkin lepas ini mereka akan cuba menasionalisasikan Emma,” tulis Daily Mail.

Bagaimanapun perhatian yang diraih Emma di China dijangka membantunya mendapat tajaan mewah.

Syarikat gergasi seperti BMW, Audi, Coca-Cola dan Pepsi dikatakan sedang berusaha untuk mendapatkan tandatangan Emma berikutan remaja itu dijangka dapat membuat impak besar di pasaran berikutan latar belakang Eurasianya.

Emma yang minat F1 pernah terbabit sebagai pelumba Go-kart

Emma sudahpun ditaja oleh Nike dan syarikat peralatan tenis Wilson yang dijangka cuba memanjangkan kontrak berkenaan dengan tawaran baru berjuta dolar.

Remaja yang memiliki senyuman manis itu juga dikatakan sudah menandatangani kontrak dengan Tiffany yang baru-baru ini bertukar milik kepada pengeluar barang mewah LVMH yang mahu mengembangkan lagi pasarannya di Asia.

Emma dijemput menghadiri gala fesyen di New York semalam

Dr Lingling Liu, pengarah urusan China Sport Business Consulting di Beijing, berkata: ‘Tenis ialah sukan yang amat popular di China dan sebagai seorang gadis yang mempunyai latar belakang pelbagai budaya Emma adalah seorang yang boleh berjaya dari segi komersial.”

Malah kata Liu, Emma mungkin boleh muncul sebagai atlet wanita pertama meraih AS$1 bilion.