UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Empat menteri bincang SOP fasa endemik, mungkin isytihar rentas negeri?

Mungkinkah hari ini rakyat akan mendengar pengumuman keizinan rentas negeri?

Ini antara yang akan dibincangkan hari ini apabila empat menteri bermesyuarat. Mereka ditugaskan untuk memperincikan langkah penyesuaian dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan COVID-19 ketika negara menuju ke fasa endemik dijadual bermesyuarat hari ini.

Perbincangan julung kali mengetengahkan empat agenda utama, termasuk tindakan inklusif seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu akan dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tiga menteri lain yang menyertai mesyuarat itu adalah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Hishammuddin berkata, mesyuarat itu akan meneliti keputusan kelonggaran diumumkan kepada orang ramai sebelum ini serta kaedah SOP sedia ada dapat dipermudahkan dan difahami semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, ia memerlukan input daripada empat menteri berkenaan, selain Annuar akan membantu memaklumkannya kepada orang ramai menerusi platform sedia ada supaya masyarakat memahami dengan lebih jelas.

Katanya, mesyuarat itu juga akan meneliti dan memperhalusi kelonggaran dipersetujui sebelum ini, sebelum sebarang keputusan mengenainya diumumkan kepada orang ramai.

“Berhubung kait dengan perjalanan rentas negeri, sektor tertentu telah pun secara prinsip mendapat (persetujuan) oleh sidang khas dengan syarat empat menteri ini memperincikannya sebelum diumumkan kepada orang ramai.

“Ia juga melihat kepada sektor tertentu contohnya ‘travel and tourism bubble’, di mana semua maklum kita sudah buka Langkawi sebagai projek rintis dan ia boleh diperluas jika berjalan lancar, selamat serta memenuhi SOP ditetapkan.

“Kalau ada sektor lagi yang perlu difikirkan, ia boleh diperluas kepada sektor lain.

“Agenda keempat ialah hasrat naratif menjelang hujung Oktober ini untuk melihat pandemik dalam konteks endemik, bagaimana kita boleh cari jalan untuk hidup bersama COVID-19 dengan rasionalnya mesti dibincangkan dari sekarang,” katanya pada satu sidang media.