UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Fosil paus berkaki empat ditemui

Benarkah dulu ada spesis ikan paus berkaki empat ? Sekumpulan saintis mengumumkan mereka mempunyai bukti itu selepas menjumpai fosil berusia 43 juta tahun milik spesies amfibia paus berkaki empat di Mesir.

Akhbar New York Post melaporkan penemuan itu dapat membantu ahli-ahli sains mengesan peralihan ikan paus dari habitat darat ke laut.

Ketua penyelidik Mesir dalam satu kenyataan berkata, fosil ditemui itu adalah milik Protoceditae iaitu sejenis ikan paus yang telah pupus dan berada di tengah-tengah peralihan itu.

Fosil itu digali daripada batu Eosen di Fayum Depression yang terletak di Gurun Barat Mesir.

Kawasan tersebut satu ketika dahulu pernah diliputi laut yang memberikan banyak penemuan berhubung evolusi ikan paus sebelum dikaji di Pusat Palentologi Vertebrata, Universiti Mansoura (MUVP).

Spesies paus baharu itu diberi nama Phiomicetus anubis dan mempunyai badan sepanjang tiga meter dengan anggaran berat sekitar 589 kilogram.

Ia juga dikatakan mungkin merupakan haiwan pemangsa teratas. Sebahagian rangkanya mendedahkan haiwan itu mungkin merupakan paus protocetid paling primitif yang diketahui dari Afrika.

“Phiomicetus anubis merupakan kunci kepada spesies ikan paus dan merupakan penemuan penting bagi paleontologi Mesir dan Afrika,” kata penulis utama penemuan itu yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of The Royal Society B., Abdullah Gohar.

Nama paus itu diambil bersempena nama Fayum Depression manakala nama spesiesnya pula merujuk kepada Anubis yang merupakan seorang dewa Mesir yang dikaitkan dengan mumia dan kehidupan selepas mati.