UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Hamzah ditegur guna kaedah diskriminasi atasi masalah dwi-kerakyatan

Anak kepada warga lelaki dengan pasangan asing juga boleh bawa isu dwi-kerakyatan - warganet

Hujah menteri dalam negeri bahawa kerakyatan automatik diberi kepada anak kepada wanita warga Malaysia akan mengundang masalah “dwi-kerakyatan” disangkal warganet.

Perkara yang sama boleh juga berlaku dalam amalan sekarang di mana kerakyatan automatik diberi kepada anak kepada lelaki warganegara yang mengahwini warga asing.

“Kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada pasangan lelaki warganegara dan ibu bukan warganegara juga terbuka kepada insiden kerakyatan berganda.

“Isu dwi-kerakyatan tidak boleh diselesaikan dengan melakukan diskriminasi terhadap wanita,” kata Suri Kempe@anakcelup dalam satu ciapan twitter semalam, menjawab kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin di Parlimen, Rabu lalu.

“Hujah dwi-kerakyatan itu adalah satu pandangan tidak tepat yang secara salah memaparkan anak kepada wanita warga Malaysia sebagai “ancaman” kepada keselamatan negara.

Mereka adalah anak-anak yang tidak bersalah…yang dinafikan akses kepada keperluan asas seperti kemudahan pendidikan, penjagaan kesihatan dan identiti nasional,” tambahnya.

Hamzah dalam jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen Merbok MP Nor Azrina Surip yang dimuat naik dalam laman web Parlimen berkata:

“Pemberian kerakyatan Malaysia bagi individu berusia 21 tahun ke bawah yang dilahirkan di luar negara kepada ibu yang merupakan warga Malaysia dengan bapa bukan warga negara ialah menerusi pendaftaran di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada Bagagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Kerakyatan 1964 termasuk undang-undang yang dikuatkuasakan berhubung isu pendaftaran perkahwinan, status anak di bawah undang-undang dan peraturan imigresen,” katanya.

Berhubung perkara ini, pertimbangan diberi dalam permohonan kerakyatan di bawah Perkara  15(2) kepada dasar kerajaan Malaysia dalam tidak mengiktiraf dwi-kerakyatan, tambahnya.

Hamzah berkata setiap permohonan diproses secara menyeluruh kes-demi-kes bagi memastikan setiap permohonan memenuhi syarat yang ditetapkam di bawah Bahagian III, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang kini dikuatkuasakan.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir, yang membuat keputusan itu dalam penghakimannya berkata, perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Beliau membuat keputusan itu ketika membenarkan saman pemula, yang difailkan bagi menuntut perisytiharan bahawa anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Saman itu difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia pada 18 Disember tahun lalu.

Berikutan itu, kerajaan telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu. Namun aktivis menganggap rayuan kerajaan itu adalah satu tindakan yang mencerminkan kegagalannya memahami hak kaum wanita dan kanak-kanak.