UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Imam Masjid Putra mohon maaf di atas keterlanjuran

Masjid Putra, Putrajaya akan menambah baik SOP solat fardhu dan Jumaat selepas video “dua darjat” tular

Imam besar Masjid Putra, Putrajaya Ikmal Zaidi Hashim memohon maaf secara terbuka di atas keterlanjuran katanya berhubung isu video tular solat Jumaat “dua darjat.”

Dalam satu klip video yang dimuat naik di Facebook malam tadi, beliau memohon maaf kepada semua umat Islam di atas reaksinya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video tular selepas solat Jumaat minggu lalu.

“Dengan rendah hati saya memohon maaf di atas segala keterlanjuran tersebut dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan, terutamanya dalam melaksanakan SOP di Masjid Putra,” katanya dalam nada tenteram.

Sila tonton di sini:

https://fb.watch/81iDe47UbO/

Dua hari lalu, Ikmal Zaidi menghangatkan lagi kontroversi solat Jumaat dua darjat, apabila memuat naik satu klip video juga di Facebook menyalahkan individu yang mengambil rakaman video tular itu.

Ikmal Zaidi mendakwa indvidu berkenaan tiba  lewat ke Masjid Putra untuk solat Jumaat tetapi tetap menunggu di depan pagar meminta diberi masuk untuk solat.

Ikmal Zaidi mohon maaf secara terbuka

“Siapa nak bagi masuk, engkau ingat apa. Lepas tu ambil gambar, itulah perangai orang kita,” kata Ikmal Zaidi.

“Saya cakap saya tak redha benda itu, saya doakan supaya orang yang buat ini dapat hidayah Allah,” katanya lagi dalam video pertamanya itu.

Ketika itu, kenyataan imam itu dikecam oleh netizen yang beranggap isu sebenarnya ialah VIP datang lewat diberi masuk, bukan jemaah datang lewat minta masuk.

Bagaimanapun, selepas video kedua dimuat naik malam tadi di mana Ikmal Zaidi memohon maaf di atas keterlanjurannya, kemarahan netizen mula reda dengan ramai menyaran sistem kuota VIP dihapuskan kerana menimbulkan tidak puas hati orang ramai.

Hari ini, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyarankan agar “kaedah siapa cepat, dia depat” digunakan dalam suasana hari ini di mana kapasiti jemaah di masjid adalah terhad.

Mujahid saran sistem siapa dulu diutamakan

Katanya, kaedah mengutamakan siapa sampai dahulu dilihat lebih adil daripada menyediakan kuota khas untuk orang kenamaan atau VIP untuk menunaikan solat Jumaat.

“Dalam keadaan biasa, tidak akan timbul isu (kuota), tetapi dalam keadaan norma baru ini perlu ada semakan kerana pada masa ini jemaah terhad, (maka) ruang perlu diberi kepada mereka yang paling berdisiplin, iaitu datang awal.

“Maknanya kalau sudah penuh (kapasiti), tutuplah. Kalau ada VIP datang lewat, tak dapatlah (sertai sembahyang jemaah). Dia juga perlu tunggu giliran. Saya nampak ini (penyelesaiannya) dalam masa sekarang,” katanya kepada Malaysiakini.

Mujahid mengulas rasa tidak puas hati orang ramai terhadap video yang tular tersebut membabitkan VIP dan orang awam yang mahu menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Putra di Putrajaya.

Berdasarkan kepada penjelasan Ikmal Zaidi pihaknya memang memperuntukkan kuota khusus untuk VIPtermasuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas – sebanyak 10 peratus – setiap kali sembahyang Jumaat.

Bagaimanapun untuk rekod, rasa tidak puas hati itu bukan sekadar melibatkan jumlah jemaah yang dibenarkan hadir tetapi turut melibatkan masa seseorang itu tiba di masjid serta kebenaran yang diberikan untuk VIP terbabit.

Mangulas lanjut,Mujahid yang juga ahli parlimen Parit Buntar menggesa saranannya diguna pakai bagi mengelakkan keadaan kurang selesa di kalangan orang Islam.

“Kalau kita tak berbuat demikian, ia akan jadi isu kerana orang ramai akan pertikaikan mereka datang awal dan beratur tapi tiba-tiba dia ini (VIP) datang lambat boleh masuk.

“Jadi, benda inilah yang menyebabkan keadaan yang kurang selesa ini dan kita pun faham dalam suasana pandemik ini, saya rasa hampir dua tahun kehadiran jemaah terpaksa dihadkan.

“Jadi, itu yang membuatkan mereka marah, malah ada yang dah datang dua kali, empat kali cuba datang solat tapi tak dapat. Tiba-tiba lihat ada (VIP) melintas dan terus dapat masuk, itu satu tanggapan yang kurang baik,” katanya.

Video itu tular di media sosial dengan kebanyakannya mempertikai apa yang disifatkan mereka sebagai layanan berbeza terhadap jemaah.

Masjid Putra kemudian dalam satu kenyataan menjelaskan pihak pengurusan masjid telah memperuntukkan “sejumlah kuota” daripada 300 kuota yang ditetapkan, untuk “jemaah tetap” yang telah mendaftar lebih awal.