UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Isytihar darurat di Melaka minggu depan?

Kerajaan akan membuat keputusan minggu depan, sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam proses mendapat taklimat daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan, sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata, Jemaah Menteri membincangkan isu PRN Melaka dalam mesyuaratnya namun tiada sebarang keputusan.

“Kita belum membuat sebarang keputusan lagi.

“Ini kerana saya difahamkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong akan mendapatkan taklimat daripada Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jadi kita tunggulah selepas taklimat kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong.
“Kabinet akan membuat keputusan minggu depan,” katanya selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan untuk kerajaan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN di negeri itu.

Sebelum ini, beberapa pakar Perlembagaan dan kesihatan awam menyifatkan proklamasi darurat sebagai penyelesaian terbaik bagi mengelak PRN Melaka ketika negara masih berdepan wabak COVID-19.

Ia berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan situasi pandemik di Malaysia akan kembali serius jika PRN Melaka diadakan, seperti yang berlaku selepas PRN Sabah.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, memohon membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa 4 Oktober lalu selepas beliau hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam memperkenan permohonan pembubaran.
Mengikut Perlembagaan negeri, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.