UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Jawapan TMJ minta Syed Saddiq terjun KLCC timbul debat di media sosial

Dari satu soalan seorang netizen yang bertanya Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar apakah yang perlu dilakukan oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman timbul pelbagai reaksi di media sosial.

Jawapan ringkas TMJ yang berkata “Terjun dari KLCC tanpa ‘parachute’ (paying terjun),” di Instagram rasmi Baginda menarik perhatian netizen yang ramai berkata ia tidak wajar.

Setakat ini, Syed Saddiq masih belum memberi reaksi beliau kepada jawapan TMJ tetapi netizen berhati-hati memberi komen di media sosial.

Isu ini timbul setelah Baginda membuka ruang pertanyaan di akaun rasmi Baginda, untuk orang ramai bertanya apa sahaja soalan.

Seorang netizen meminta TMJ sebutkan perkara yang perlu dilakukan Syed Saddiq, jika beliau ingin meraih perhatian Baginda.

“Terjun dari KLCC tanpa ‘parachute’ (payung terjun),” titah Tunku Ismail ringkas.

Hubungan mereka dikatakan mula renggang selepas Syed Saddiq memenangi kerusi Parlimen Muar semasa Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Ketika Syed Saddiq meminta sumbangan dana dari orang ramai untuk membayar kes guaman, beliau turut digelar “drama queen” di Instagram milik TMJ.

Syed Saddiq berdepan tuduhan pecah amanah melibatkan wang sebanyak RM1 juta milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan diarahkan membayar ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Julai lalu.

Beliau memohon sumbangan orang ramai untuk membantunya melunaskan wang ikat jamin tersebut.