UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Jurulatih Ziyad akui bertanggung jawab

“InsyaAllah kami akan bangkit kembali. - gambar Instagram Ziyad, bersama juruatih Faizol Harun, setiba di KLIA, semalam

Takda isu sabotaj dan tak guna tunding jari. Jurulatuh atltet lontar peluru para negara mengakui kehilangan emas adalah tanggungjawabnya.

Mohd Faizol Harun muncul untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden pembatalan pingat emas dimenangi atlet Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

Faizol berkata sebagai jurulatih dia adalah individu paling dekat dengan Ziyad sepanjang temasya itu.

“Kepada semua pihak yang mencari siapa yang bersalah dan tidak bersalah dalam hal ni, saya selaku jurulatih kepada Ziyad, orang yang dekat dengan Ziyad, saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

“Jangan menunding jari dekat orang lain,” katanya pada sidang media sambutan kepulangan kontinjen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam.

Katanya tidak timbul isu sabotaj terhadap Ziyad sebaliknya ia mungkin suatu kebetulan disebabkan kesilapan teknikal sambil mengakui dia dan anak buahnya tiba tepat pada masanya untuk melaporkan diri, lapor Bernama.

Selasa lepas, Ziyad, 31, dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod dunia baru.

Ziyad telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pada masa sama, Mohd Faizol berkata dia tidak mempunyai bukti menunjukkan Ziyad tiba pada waktunya di bilik menunggu tersebut memandangkan sebarang rakaman video atau gambar tidak dibenarkan.

“Kita sampai pada masa dan di situ masih ada jurulatih Ukraine, saya tak tahu kenapa dia berada situ, patutnya macam saya lepas hantar Ziyad saya pergi masuk tempat pertandingan, sebab kita tahu dia dah sampai di situ dan selamat,” jelasnya.

‘Atlet Greece hanya 4,5 meter di depan’

Menceritakan kronologi kejadian, Mohd Faizol berkata dia dan Ziyad tiba di kawasan pemanas badan (warm up area) berdekatan Stadium Olimpik Tokyo pada jam 4.15 petang sebelum anak buahnya mula memanaskan badan dari jam 4.45 petang sehingga 5.30 petang.

Selepas memanaskan badan,15 minit diambil untuk mempersiapkan Ziyad termasuk memberikan urutan selepas anak buahnya mengadu otot terasa tegang sebelum mereka mula berjalan menuju ke venue pertandingan tepat jam 5.45 petang, katanya.

“Kita dah buat kiraan daripada ‘warm up track’, sampai dekat bilik menunggu lebih kurang kalau jalan biasa ambil masa lapan hingga 10 minit, kalau cepat mungkin dalam lima hingga enam minit, dan kita berjalan dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa.

“Di depan kami ada atlet Greece yang jaraknya dalam empat hingga lima meter saja, bila sampai dia (atlet Greece) boleh masuk, kami pula kena tahan, bila tengok masa 5.55 petang. Sepatutnya masih boleh masuk,” jelasnya.

Katanya, rayuan berkali-kali untuk dibenarkan Ziyad masuk ke bilik menunggu tidak diendahkan penolong pengadil di situ, malah pada masa sama pegawai berkenaan menguruskan kemasukan atlet lompat tinggi sebelum akhirnya mengatakan dia dan anak buahnya telah lewat sambil menunjukkan jam tepat jam 5.56 petang.

Bagaimanapun, katanya kemudian Ziyad akhirnya dibenarkan masuk selepas berlaku perbincangan antara ketua pengadil dan jurulatih Ukraine.

“Selepas itu saya masuk stadium dan Ziyad bertanding. Lepas lontaran ketiga saya dimaklumkan oleh pegawai yang Ziyad diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula). Kalau kita tahu awal, sudah tentu saya takkan baiarkan Ziyad bertanding,” katanya.