UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kabinet setuju tubuh pasukan khas siasat Tommy – PM

Kabinet bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan berhubung dakwaan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.
Menurut satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan bahawa pasukan petugas tersebut ditubuhkan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap Tommy Thomas.
“Pasukan petugas ini akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat. Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urusetia.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan tersebut antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai salah guna kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.
Dalam kenyataan yang sama, Kabinet turut bersetuju mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dan menyemak semula dua kes berasingan, iaitu berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.