UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kanak-kanak Filipina dilarang keluar rumah akibat Covid-19

Gentar dengan penularan varian Delta Covid-19, kanak-kanak berusia lima tahun ke atas di Filipina dilarang keluar dari rumah masing-masing.

Arahan itu dikeluarkan oleh ketua polis Filipina, Jeneral Guillermo Eleazar, menurut portal Philstar.com.

Transmisi tempatan varian yang tular di kebanyakan negara seperti India dan Indonesia itu disahkan oleh Jabatan Kesihatan.

Beliau merayu ibu bapa untuk mematuhi arahan bagi kebaikan bersama.

“Sebagai bapa, saya faham dengan kata-kata ‘saya lebih sanggup untuk dihidapi penyakit asalkan anak saya selamat’” katanya di dalam satu kenyataan.

Kanak-kanak, jika tidak dikawal, berupaya menjadi penyebar jika terdedah kepada virus yang sudah membunuh lebih empat juta penduduk dunia ini.

“Sebagai yang bertanggungjawab di atas keselamatan anak-anak, saya berharap semua akan menurut perintah ini dan melarang anak-anak kecil dari keluar rumah,” tambahnya.

Baru-baru ini, media melaporkan pelancong dari Malaysia dan Thailand tidak dibenarkan masuk ke Filipina bagi membendung penularan varian ini.

Larangan ini berkuatkuasa hari ini 25 Julai sehingga hujung bulan.

Hampir 27,000 penduduk negara itu meninggal dunia akibat Covid-19 dan kes meningkat kepada 1.53 juta setakat ini.

JeneralGuillermo Eleazar