UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

KBS pertimbang cadangan bina sekolah sukan OKU

Ada kemungkinan sekolah sukan khusus untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) akan wujud di negara ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperhalusi cadangan pembinaan sekolah berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbincangan dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi menilai segala keperluan yang diperlukan sebelum ia dapat dimuktamadkan.

“Buat masa sekarang juga pihak KBS sentiasa mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian lain bagi membolehkan aktiviti atau program berteraskan belia dan sukan ini dapat diadakan bersama.

“Untuk kewujudan sekolah sukan ini, Insya-Allah doakan ia menjadi kenyataan sekali gus memberi inisiatif yang lebih baik kepada sukan para ini berkembang kerana mereka juga mampu mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya dalam sidang media di Ipoh.

Pada 8 Sept lepas, Penaung National Alliance of Mental Health (NAMH) Senator Datuk Ras Adiba Radzi mencadangkan kerajaan membina sebuah sekolah sukan OKU bertujuan mencungkil pelapis dan bakat baharu secara khusus dalam bidang sukan.

Ras Adiba turut mencadangkan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan meliputi fasiliti dan kemudahan mesra OKU di stadium, kompleks sukan dan padang selain menawarkan peluang kepada bekas atlet para dilantik menjadi jurulatih.

Atlet para ternyata mampu mengharumkan nama negara melalui pencapaian tiga pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini.