UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kebenaran rentas negeri diumum 3 minggu lagi

Soalan paling hangat sekarang ialah bila boleh rentas negeri dan masing-masing tidak sabar berbuat demikian atas pelbagai sebab tujuan?.

Namun bagi kerajaan ada beberapa perkara perlu dibuat terlebih dulu untuk menuju ke arah itu.

Sehubungan itu kerajaan menjangkakan kebenaran rentas negeri hanya dapat diberikan tiga minggu lagi.

Ia selepas beberapa langkah menyegerakan vaksinasi populasi dewasa diambil dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat, sekali gus mencapai sasaran 90 peratus dalam tempoh itu.

Katanya, antara tindakan segera akan dilaksanakan ATM ialah menggerakkan lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) untuk membantu KKM memvaksin masyarakat di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, ATM juga diarahkan memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi warga ATM kepada orang awam, bagi menyegerakan sasaran.

“Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu kita harap dapat dijayakan dalam tiga minggu ini.

“Jadi sebelum ia (rentas negeri diumumkan) banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.

“SOP rentas negeri kita akan umumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan ia akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan `dalam beberapa minggu lagi’.

Ismail Sabri dilaporkan berkata ini kerana sehingga Rabu lalu (22 September), 81 peratus populasi dewasa dalam negara sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri itu.