UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kelantan berhati-hati sektor pelancongan dibuka

Slow and steady. Itu reaksi penduduk Kelantan menyambut pembukaan semula sektor pelancongan sementara pengurusan hotel yang turut berhati-hati merasa lega dengan perkembangan ini.

Apa tidaknya, mereka juga tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku yang boleh menyebabkan penutupan sekali lagi.

Bendahari Persatuan Hotel Kelantan Raja Rusmin Raja Mahmud berkata masih belum ada momentum mendadak di dalam jumlah kedatangan pelancong tempatan dan ini melegakan pengurusan hotel di sini.

Beliau yang juga pengarah jualan dan pemasaran Hotel The Grand Renai memberitahu Updates Malaysia ahli persatuan diingatkan sentiasa mengikut standard operasi prosedur (SOP) yang dikenakan di dalam menguruskan tetamu yang sudah menerima dua dos vaksin.

Raja Rusmin akui tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan beberapa kali sejak Mac tahun lalu memang menjejaskan industri perhotelam di negeri ini.

“Begitupun, bantuan dari pihak kerajaan banyak membantu kami. Kami terus bertahan,” katanya.

Raja Rusmin Raja Mahmud

Menerangkan prosedur yang harus diikuti, setiap bilik disanitasi sebelum kemasukan tetamu.

“Tetapi, sebenarnya kami sudah bersedia untuk beroperasi seperti biasa dan mengalu-alukan penduduk Kelantan untuk bercuti di negeri sendiri,” kata Raja Rusmin.

Sektor pelancongan juga sedang bersiap sedia untuk menerima kedatangan pelancongan dari negeri-negeri lain apabila sempadan dibuka semula kelak.

“Hanya apa yang kami harapkan agar semua memainkan peranan untuk menurut SOP yang disediakan, insya-Allah semua selamat,” katanya.

Menurut laporan Berita Harian bertarikh 25 Ogos, kerugian dialami industri pelancongan dan budaya di Kelantan dianggar berjumlah RM2.6 bilion tahun lalu akibar penularan Covid-19.

Angka yang turut menunjukkan penyusutan lebih 2.2 juta pelawat ini dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Salah sebuah hotel bertaraf 4-bintang di Kota Baru yang beroperasi sejak 1 September