UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kenapa ribuan burung pipit gugur ke Bumi?

Aneh sungguh apabila ribuan burung pipit gugur kebumi seperti hujan yang turun. Kejadian berlaku di sebuah kawasan tanah perkuburan di Banjar Sema Pring, Bali.
Menurut saksi sebelum kejadian itu, hujan turun dengan lebat secara tiba-tiba dan tanpa diduga ribuan burung sepsis itu mula jatuh dari udara.
Ada yang jatuh dan terus mati dan ada juga yang masih hidup tetapi berkeadaan lemah.
Burung-burung itu kelihatan bertenggek di atas dua batang pokok berhampiran dengan tanah perkuburan itu sejak lima hari sebelumnya.
Mengesahkan fenomena aneh tersebut memang berlaku, Ketua Jabatan Kesihatan Haiwan Wilayah Gianyar, Made Santiarka, berkata burung-burung yang jatuh itu semuanya pipit.
Difahamkan, sejumlah bangkai burung pipit itu telah dibawa ke makmal sebagai sampel bagi tujuan diagnosis dan siasatan selanjutnya.
Made berpendapat, antara punca kejadian adalah kerana faktor cuaca yang ekstrim iaitu hujan lebat dan angin kencang hingga burung berkenaan tidak mampu bertahan sebelum lemah dan terjatuh.
“Kerana hujan terlalu lebat, jelas ada tekanan udara yang rendah. Dengan rendahnya tekanan udara ini (maka) burung-burung berkenaan tidak lari menyelamatkan diri.

Sebaliknya mereka bertahan saja, diam dan basah kuyup. Itu menyebabkan mereka sakit dan mati,” katanya.
Jelas Made, cuaca ekstrim yang dimaksudkan adalah tempoh peralihan musim dari musim kemarau ke musim hujan lebat.
Bagaimanapun difahamkan, masih ada sejumlah burung pipit itu yang berjaya bertahan hidup kerana dapat sinaran cahaya matahari selepas kejadian tersebut.
Dalam masa sama, Balai Konservasi dan Sumber Daya Alam Bali mengesahkan, punca sebenar kejadian belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan pihak mereka.