UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kerajaan perlu guna audit swasta?

Tun Dr Mahathir Mohamad membuat cadangan supaya khidmat firma swasta digunakan untuk membuat pemeriksaan dan menyemak jabatan-jabatan kerajaan bagi menghentikan ketirisan dan pembaziran .

Beliau berpendapat ini kerana audit oleh unit audit dalaman dan Jabatan Audit Negara tidak memadai kerana tidak benar-benar membantu memperbaiki masalah yang dihadapi beberapa jabatan ketika ini.

“Adakala kita perlu audit swasta untuk audit kedua kepada akaun-akaun yang disimpan oleh jabatan kerajaan.

“Bukan kita nak bagi peluang kontrak kepada mereka (sektor swasta) tetapi di antara kehilangan wang yang banyak dengan membelanjakan wang itu untuk menyelamatkan wang kita, saya fikir kita patut pilih untuk menyelamatkan wang kita walaupun dengan cara kita membelanjakan wang untuk dapatkan pakar-pakar yang akan tentukan segala yang diuruskan itu berjalan dengan baik,” katanya di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir juga mempersoalkan mengapa Jabatan Kastam Diraja Malaysia gagal menyiapkan sistem uCustoms bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) walaupun membelanjakan RM272.99 juta setakat ini.

“Jabatan Kastam khilangan wang yang banyak, lebih dari RM200 juta . Ini bukan perkara baharu. Tiap-tiap tahun inilah laporannya. Seolah-olah kita tidak dapat mengatasi masalah ini sampai bila-bila,” katanya.

Sistem uCustoms gagal disiapkan dalam tempoh masa 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2, sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) telah dikenakan.