UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kerajaan tawar tujuh langkah stabil politik

Tawaran transformasi selaras dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara - Ismail Sabri

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jemaah Menteri menyetujui tawaran tujuh transformasi Parlimen dan pentadbiran bagi tujuan memastikan kestabilan politik.

Secara amnya, ia membabitkan kebanyakan transformasi yang ditawarkan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lalu untuk mendapatkan sokongan pembangkang ketika kerajaannya jelas hilang sokongan di Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ismail berkata tawaran kerajaan itu selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi;

* Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

* Pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan

* Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun

* Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang

* Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama

* Ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

* Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Ismail berkata, transformasi kerajaan itu memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara, katanya.