UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kerajaan tolak syor larang warga emas memandu hanya atas faktor usia

Diskriminasi jika hanya faktor umur jadi penentu - Wee Ka Siong

Warga emas boleh menarik nafas lega. Cadangan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM untuk mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas tidak mungkin dilaksana semata-mata atas faktor usia.

Malah, kerajaan menganggap ia mungkin satu tindakan “diskriminasi” (membeza-beezakan) jika hanya faktor usia menjadi penentu.

“Satu sudut yang lebih meluas, lebih menyeluruh termasuk keperluan pergerakan dan faktor sosioekonomi lain patut difikirkan, bukan hanya faktor usia,” kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu kenyataan video semalam.

“Dengan menafikan keperluan seorang pemandu dengan alasan faktor umur mereka atau bukti yang terpencil atau menggunakan anekdot adalah satu diskriminasi,” katanya.

Sila tonton di sini:

https://drive.google.com/file/d/147bkKCUW0sTgRNadvGicdQEv-va8tFkl/view

Isu berkenaan menjadi viral dengan pelbagai pihak menentang syor polis itu kerana dianggap berdasarkan perangkaan yang tidak lengkap.

Malah cadangan memaksa warga emas menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dikatakan layak dikeluarkan lesen memandu dianggap tidak adil oleh Persatuan Gerontologi dan Geriatrik Sarawak (SGGS).

Presidennya Dennis Tan mengatakan ini kerana tidak ada statistik yang menunjukkan bahawa mereka adalah antara penyumbang utama kemalangan jalan raya di negara ini.

Sebelum ini dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada kerajaan supaya mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas memandangkan faktor kesihatan seseorang warga emas boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias (gambar di bawah) berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

Beliau berkata kumpulan warga emas seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat untuk memandu

Apabila mencapai usia warga emas, banyak penyakit yang datang, antaranya penyakit Alzheimer dan penglihatan tidak terang.

“Faktor ini secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

“Terdapat kes sebelum ini seorang warga emas memandu kenderaan dengan memasuki lorong motosikal. Maka kerajaan perlu meneliti dan mengkaji berhubung pengeluaran lesen memandu kepada golongan warga emas,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Beliau memberi contoh sekiranya seseorang warga emas berusia 70 tahun memperbaharui lesen memandu bagi tempoh lima tahun, ia tidak sesuai sama sekali kerana faktor usia.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (gambar di bawah), menjelaskan saranan itu adalah cadangan peribadi Azisman.

“Saranan tersebut adalah cadangan peribadi beliau di peringkat dalaman JSPT sahaja dan belum dibincangkan secara mendalam.

“JSPT sebagai jabatan di PDRM yang terbabit dalam memastikan keselamatan jalan raya, sentiasa melihat kepada kaedah-kaedah meningkatkan ni keselamatan demi kepentingan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Acryl Sani berkata, sebarang pengenalan kaedah keselamatan baharu hanya akan dilaksana setelah menjalani proses serta diputuskan pelaksanaannya oleh semua pihak yang berkepentingan.