UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kes keracunan Ivermectin di kesan

Berhati-hatilah sesiapa yang sudah atau berhasrat mengambil Ivermectin. Pusat Racun Negara mengesan dua kes keracunan akibat pengambilan pil Ivermectin secara kendiri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kes pertama melibatkan pengguna berumur 35 tahun yang mengambil satu biji Ivermectin.

“Akibatnya, pengguna tersebut telah mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan.

Kes kedua pula, seorang warga emas tidak sedarkan diri selepas mengambil 15 biji Ivermectin sekali gus,” kata KKM dalam kenyataannta di Facebook, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, KKM memberi amaran setakat ini, Ivermectin belum lagi diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Namun, didapati terdapat aktiviti penjualan ubat ini secara tidak sah sedang berlaku.

“Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan.

“Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut, dan pening.

“Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru, dan kematian dan malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini.

Sehubungan itu, KKM menyeru orang ramai mengelakkan pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri.