UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

KJ buat permohonan maaf yang cetus tanda tanya

Khairy Jamaluddin, Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, mencetuskan tanda tanya apabila tanpa diduga memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia sekiranya ada kekurangan sepanjang perkhidmatan beliau.

Menerusi dua rakaman video versi bahasa Melayu dan Inggeris, beliau, yang menjadi Menteri sejak 10 Mac tahun lalu, turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak.

“Saya mengambil peluang di sini untuk memohon maaf kepada sesiapa yang ada pengalaman buruk dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dilancarkan kerajaan,” katanya yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Namun saya berjanji akan terus lagi belajar, menambah baik dan berjuang untuk keadaan lebih sempurna selepas ini,” katanya menerusi hantaran itu.

Permohonan maaf beliau menimbulkan spekulasi adakah ini hari terakhir Ahli Parlimen Rembau itu menjawat jawatan rasmi kabinet dan adakah ia bersangkutan dengan berita bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka melepaskan jawatan Perdana Menteri esok.

Sepanjang ucapan tersebut Khairy banyak mengulangi perkara yang sama sudah dilaporkan pihak media tempatan sebelum ini mengenai pelbagai isu berkaitan dengan PICK.

Dalam pada itu beliau turut memberi jaminan, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan memberi perkhidmatan terbaik dengan sasaran 50 peratus dewasa lengkap dua dos pada akhir bulan ini.

Khairy turut meminta masyarakat tidak berasa bimbang dengan insiden suntikan kosong yang ditularkan kerana ia hanya kes terpencil selain isu kesesakan di pusat pemberian vaksin.

Pada masa yang sama ujarnya, Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan akan menerbitkan laporan mengenai tahap antibodi individu pasca vaksinasi dalam waktu terdekat.

“Begitu juga program imunisasi untuk pelajar sekolah berusia 12 tahun sehingga 17 tahun akan dimaklumkan minggu depan agar ibu bapa dapat melakukan persiapan lebih awal,” jelasnya.

Berdasarkan peruntukan Perlembagaan, peletakan jawatan ketua kerajaan akan melibatkan kesemua anggota jemaah Kabinet yang kehilangan jawatan masing-masing secara automatik.