UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

KJ letak penanda aras tinggi bagi menteri lain

Khairy jelas dan lengkap dalam memberi jawapan di sidang akhbar sulungnya sebagai Menteri Kesihatan

Tangkas…satu perkataan yang boleh menggambarkan penampilan sulung Khairy Jamaluddin di sidang akhbar sebagai Menteri Kesihatan.

Tidak ada yang cuba diselindung dan semua soalan dijawab malah jika tidak dapat dijawab serta merta pun diberi jaminan maklumat akan disediakan kemudian.

Jarang sekali sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di atas talian mendapat pujian dan komen positif.

Rata-rata yang mengikuti sidang akhbar itu melalui facebook live, memuji cara lengkap Khairy menjelaskan sesuatu isu tanpa bergantung kepada pegawai kanan kementerian kesihatan yang bersamanya pada sidang akhbar itu di Putrajaya, hari ini.

Kalau ada komen negatif pun kerana Khairy kadang kala bercakap dalam bahasa Inggeris. Itu pun ada yang mempertahankan Menteri dengan menyatakan beliau berbahasa Inggeris hanya ketika disoal dalam bahasa itu, atau kerana kehadiran wartawan asing di sidang akhbar itu.

Khairy sempat juga berseloroh seketika untuk menceriakan keadaan dengan menyatakan mana-mana guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 sila menghadap Tengku Makhkota Johor, merujuk kepada laporan seperti pautan di bawah.

Kembali serius, Khairy menjelaskan seberapa boleh beliau tidak mahu mencadangkan penerimaan vaksin diwajibkan, termasuk di sekolah, mahupun di mana-mana tempat kerja.

Sebaliknya beliau berharap dapat pujuk majikan, termasuk sekolah mengenakan sekatan-sekatan tertentu kepada mereka yang enggan menerima vaksin, tanpa sebarang alasan kesihatan.

“Mungkin majikan boleh melarang mereka ini daripada hadir mesyuarat atau berada di tempat kerja,” katanya berhubung pendekatan sektoral itu.

Sila tonton sidang akhbar itu di pautan di bawah:

https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/videos/567332471123606/

Mesej Khairy pada sidang akhbar itu ialah jelas. Negara akan beralih kepada fasa endemik menjelang Oktober apabila fasa pembendungan dijangka dapat diakhiri melalui imunisasi dan SOP ketat.

SOP pada fasa endemik akan lebih jelas dan dipermudahkan agar aktiviti ekonomi dapat dicergaskan semula, kata Khairy yang secara rasmi mula bertugas semalam selepas mengangkat sumpah jawatan.

Namun menteri itu menegaskan pematuhan masyarakat kepada SOP tetap penting, termasuk memakai pelitup muka dan syarat-syarat kuarantin sendiri.

Fasa endemik bermaksud strategi yang membuat anggapan virus itu sentiasa bersama kita dan tidak dapat dihapuskan.

Ini bermakna hidup pasca pademik memerlukan kaedah norma baharu dari banyak segi.

Selain itu, Khairy juga berjanji kementerian kesihatan akan lebih telus dalam perkongsian data dan maklumat.

“Mulai minggu depan lebih banyak maklumat berkaitan Covid-19 akan dikongsi dengan masyarakat agar kebolehpercayaan langkah-langkah diambil akan dapat ditingkatkan,” katanya.

Isu-isu lain yang disentuh Khairy boleh dibaca di sini:

https://www.malaysiakini.com/news/589548

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/858772/peranti-digital-pantau-kuarantin-di-rumah-bakal-diperluas