UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

KJ patut dilantik “Chief Innovation Officer”

Khairy mahu bawa perubahan tingkah laku melalui paparan data yang mudah difaham masyarakat umum

Komentar

Oleh Khaidir Abd Majid

Pelancaran laman web covidnow.moh.gov.my oleh Khairy Jamaluddin semalam tidak banyak diserlahkan oleh media.

Banyak isu lain yang dianggap lebih sensasi dalam sidang media Menteri Kesihatan semalam mencuri tumpuan wartawan yang hadir.

Begitulah hakikatnya media sekarang, lebih-lebih lagi generasi hyper-pantas wartawan digital, lebih gemar menumpu kepada pokok daripada hutan.

“Hutan” atau gambaran besar yang dilepas pandang semalam ialah dalam Khairy rakyat telah ditonjolkan corak kepimpinan generasi muda yang boleh membawa perubahan yang diharapkan.

Sedar atau tidak, melalui laman web covidnow, Khairy telah membawa pembaharuan pemikiran iaitu kerajaan harus telus dan tidak perlu takut mendemokrasikan data.

Memang benar, KKM di bawah kepimpinan lama telah berkongsi data di laman web datahub. 

Namun data yang dikongsi amat mentah dan rumit difahami oleh orang kebanyakan. Ia seolah-olah langkah “melepaskan batuk di tangga.”

Asal tidak dituduh menyorok data sudah cukup bagi kepimpinan KKM sebelum ini.

Akibatnya, rakyat rata-rata kurang faham mengapa mereka perlu patuh SOP yang kepada mereka hanya menyulitkan hidup.

Maka berlakulah kes “ke sana, ke sini”seperti lagu rap yang diinspirasi oleh sedutan ucapan PM8.

Tonton di sini:

Berikutan itu, kes covid-19 meningkat mendadak dan Malaysia walaupun mempunyai jumlah penduduk 32 juta, tersenarai di tempat 23 teratas dengan hampir 2 juta kes.

(China dengan jumlah penduduk 1.4 bilion disenarai di kedudukan 109 dengan hampir 100,000 kes).

Jalan mudah bagi kepimpinan sebelum ini ialah untuk menyalahkan varian baru yang muncul.

Benar varian seperti Delta mengucar kacirkan usaha negara memerangi serangan virus ini, tetapi negara lain turut mengalami masalah sama, mengapa pula kita tergolong dalam kumpulan kecil yang teruk terjejas?

Khairy menyedari hakikat bahawa untuk benar-benar mengalahkan virus maut ini perubahan tingkah laku masyarakat amat diperlukan, di samping vaksinasi.

Perubahan tingkah laku ini tidak boleh dipaksa tetapi perlu dipupuk agar masyarakat sendiri yang terbabit di barisan hadapan dalam perang melawan musuh ghaib ini.

Tanpa pembabitan masyarakat di barisan hadapan, petugas perubatan dan keselamatan akan terus menanggung beban bersendirian.

Bagi memupuk perubahan tingkah laku, Khairy tidak puas hati dengan berkongsi data dan maklumat di gatehub sahaja yang hanya memberi manfaat kepada beberapa kerat pakar kesihatan awam dan penganalisis data yang ada di negara ini.

Bagi “menyingkap tirai kerahsiaan” berhubung Covid-19, menteri berusia 45 tahun itu, jelas menyedari data dan maklumat harus divisualisasi (dibayang) agar mudah diakses dan difahami umum.

Hasilnya, laman web covidnow lebih mudah dan jelas untuk tontonan umum, sehinggakan masyarakat boleh mensahihkan sebarang maklumat berhubung Covid-19 dengan memetik papan kekunci.

Layar di sini:

https://covidnow.moh.gov.my/bm

Laman web covidnow masih belum lengkap (kini hanya didapati dalam dua bahasa), tetapi ia adalah permulaan yang harus disambut baik oleh semua, termasuk menteri-menteri lain.

Inovasi yang dibawa oleh Khairy, termasuk

MySejahtera, walaupun nampak mudah tetapi diperlukan untuk mengembleng masyarakat dalam mencapai sesuatu matlamat.

Idea seperti ini bukan baru sebab negara yang kurang maju di Afrika pun telah lama memperkenalkan perkakasan digital mudah seumpamanya untuk memerangi Covid-19.

Di Sierra Leone misalnya, seorang menteri berusia 34 tahun lepasan Universiti Harvard telah melancarkan dari awal pandemik lagi sistem kutipan data secara menyeluruh.

Baca di sini:

https://www.gatesnotes.com/Health/Heroes-in-the-field-David-Sengeh?WT.mc_id=20210909100000_HITFDavidSengeh_BG-TW_&WT.tsrc=BGTW

Di negara Afrika Barat itu, jika seseorang berasa demam, dia boleh melaporkan diri menerusi aplikasi digital dan memperoleh bantuan yang diperlukan.

Jika perlu dikuarantin secara kendiri aplikasi yang sama akan menggerakkan agensi tertentu untuk memastikan bekalan yang perlu disampaikan – tidak perlu dinaikkan bendera putih seperti di Malaysia.

Kerajaan pusat di Sierra Leone juga tidak lokek  untuk berkongsi data dengan kerajaan tempatan yang boleh memutuskan sama ada untuk buat “lockdown” setempat atau sebaliknya.

Bukan hanya memerangi Covid-19, menteri muda yang sama kini berusaha mengintegrasi teknologi dalam semua aspek kerajaan Sierra Leone agar data dan maklumat boleh dimanfaatkan oleh semua untuk membangunkan usahawan generasi baru negara itu.

David Sengeh, 34 tahun, ketua pegawai inovasi Sierra Leone

Mungkin sudah tiba masanya negara memanfaatkan kepimpinan muda untuk membawa perubahan yang bermakna. Mungkin Khairy perlu mengambil portfolio kedua iaitu Ketua Pegawai Inovasi.