UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

KL capai imuniti kelompok, tempat lain bakal menyusul

Kuala Lumpur menjadi kawasan kedua di negara ini yang mencapai imuniti kelompok, iaitu selepas Labuan.

Ini sah setelah ibu kota ini mencatat lebih 80 peratus populasi dewasanya lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan laporan vaksinasi setakat semalam, 15 Ogos, kira-kira 85 peratus populasi dewasa di Kuala Lumpur lengkap menerima dua dos.

Beliau berkata, Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan kedua mencapai imuniti kelompok selepas Labuan, pada 27 Julai lalu.

“Kejayaan itu hasil usaha keras pelbagai agensi dan petugas barisan hadapan sejak pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Annuar, ketika ini, Kuala Lumpur mencapai kapasiti harian 53,000 dos yang dilaksanakan melalui 196 Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Selain itu, Putrajaya pula setakat semalam sudah mencapai tahap 74 peratus imuniti kelompok.

Sementara itu, Selangor juga, seperti diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, bakal mencapai imuniti kelompok tidak lama lagi susulan kerjasama bersepadu antara Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan Program Vaksin Selangor (SelVAX) di bawah kerajaan negeri.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluahkan keyakinan bahawa negeri itu mampu mencapai imuniti kelompok pada Ogos atau September.

Perlis pula, walaupun mempunyai bilangan penduduk yang kecil, dijangka hanya akan mencapai imuniti kelompok pada Disember.

Sasaran imuniti kelompok dijangka dicapai apabila 80 peratus daripada populasi dewasa divaksin.