UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

KPMG setuju bayar RM333 juta berkaitan 1MDB

Penyelesaian tak beri kesan atau kompromi tuntutan terhadap Jho Low dan individu lain


KPMG bersetuju membayar RM333 juta sebagai penyelesaian terhadap segala tuntutan berhubung tanggungjawab fidisuarinya dalam pengauditan yang dilakukannya terhadap 1MDB.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata bayaran penyelesaian itu melebihi 800 kali fi audit yang diterima firma itu dan juga merupakan antara bayaran penyelesaian terbesar oleh firma audit di Asia Tenggara berkaitan isu 1MDB.

Bayaran penyelesaian itu menutup saman sivil yang dikemukakan kerajaan terhadap KPMG pada 6 Julai lalu.

“Perkembangan ini mencerminkan tekad kerajaan untuk menuntut daripada semua pihak terbabit dalam kes 1MDB dan entiti berkaitan dengannya,” kata Tengku Zafrul (gambar di bawah) dalam satu kenyataan hari ini.

Penyelesaian itu tidak akan memberi kesan atau mengkompromi tuntutan negara terhadap individu seperti Low Taek Jho (Jho Low) yang kini dalam buruan. 

Dua bulan lalu, kerajaan dan 1MDB memgemukakan saman AS$5.64 bilion (RM23.63 bilion) terhadap 44 rakan kongsi KPMG Malaysia di atas dakwaan kecuaian dan pelanggaran kontrak ketika mengudit penyata kewangan 1MDB daripada 2010 hingga 2012.

Kerajaan dan 1MDB sebagai plaintif menuntut bayaran terhadap kerugian yang dialami di atas pelanggaran yang didakwa dilakukan oleh rakan kongsi KPMG dalam tugasan mereka sebagai juruaudit 1MDB.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif berkata lebih AS$5.6 bilion telah diseleweng daripada 1MDB, sebanyak AS$3.197 bilion daripadanya pada 2010, 2011 dan 2012 ketika KPMG bertindak sebagai auditor 1MDB.

KPMG sebelum ini menafikan dakwaan itu dan berjanji akan bersungguh-sungguh melawan tuntutan berkenaan.

Pada Mac lalu, Deloitte PLT bersetuju membayar RM324 juta (AS$80 juta) sebagai penyelesaian terhadap semua tuntutan kerajaan berhubung tanggungjawab fidusiarinya dalam mengaudit akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd daripada 2011 hingga 2014.