UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

KPT digesa tak tunggu minit terakhir soal buka kampus

Syed Saddiq meminta KPT beri masa mencukupi kepada ibu-bapa dan mahasiswa untuk buat persiapan

Bekas Menteri Belia dan Sukan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) jangan buat pengumuman minit terakhir pembukaan semula Institut Pengajian Tinggi.

Pengumuman lewat, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menyusahkan pelajar dan ibu bapa membuat persiapan, termasuk menyediakan wang perbelanjaan dan pengajian.

“Cukup-cukuplah dengan last minute announcement,” kata Ahli Parlimen Muar berusia 28 tahun itu dalam satu klip video yang dimuat naik di laman twittter, hari ini.

Syed Saddiq berkata ibu-bapa dan mahasiswa perlu diberi masa memadai untuk buat persiapan berhubung yuran, pengangkutan dan sewa rumah.

Selain itu, beliau juga meminta KPT menyegerakan pencapaian imuniti kelompok di kampus di kalangan, mahasiswa, tenaga pengajar dan pekerja lain.

Bekas menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan itu juga menggesa KPT menyegerakan bantuan kebajikan kerana ramai ibu-bapa kehilangan pekerjaan sejak sekatan pergerakan dilaksanakan apabila pandemik Covid-19 melanda negara pada awal 2020.

“Jika mereka (mahasiswa) tidak berjaya bayar yuran atau tampung perbelanjaan di universiti, mereka juga akan susah. 

“Kita kena bantu mereka. Ada ramai juga mahasiswa yang mengalami masalah kesihatan mental, perlu ada intervensi awal untuk membantu mereka,” tambah beliau.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebelum ini mengumumkan IPT akan dibuka semula untuk pengajaran bersemuka bulan depan, namun setakat ini tidak ada maklumat lanjut berhubungnya.