UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kuasa Ismail Sabri sementara, PRU-15 tetap jadi penentu mutlak

PRU15 jadi mandat mutlak kepada siapa yang berhak membentuk kerajaan pilihan raykat

Presiden UMNO memberi peringatan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaannya sekarang yang didominasi parti Bersatu hanyalah “bersifat sementara.”

Pendirian itu menimbulkan persoalan sama ada Ismail Sabri masih kekal sebagai Perdana Menteri andainya UMNO dan gabungannya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Sebagai naib presiden UMNO, Ismail Sabri  duduk di tangga ketiga hierarki kepimpinan parti di belakang Zahid dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat).

Hakikatnya, Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri hanya secara kebetulan apabila Zahid berdepan dengan kes mahkmah dan Tok Mat bukan Ahli Parlimen, lantas tidak mempunyai kelayakan pada masa ini untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Apa yang menarik, Zahid berkata kenyataannya itu adalah sebagai mengulas pelantikan barisan Jemaah Menteri dan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawatan bertaraf menteri.

Dalam satu hantaran Facebook hari ini, beliau tidak menyatakan secara langsung pendiriannnya atau parti berhubung pelantikan terbabit yang banyak memberi tempat kepada pemimpin parti Bersatu – parti saingan UMNO untuk sokongan pengundi Melayu.

“Parti telah membuat pendirian menyokong perlantikan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. 

“Ini bermakna, parti menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan atau kebijakan-kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara,” kata Zahid, tanpa menyatakan sama ada beliau setuju atau sebaliknya dengan pelantikan itu.

Apa yang ditegaskan oleh Zahid ialah beliau mempunyai dua mandat besar akar umbi.

“Pertamanya, kerajaan hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat,” kata Zahid.

Justeru, katanya, seperti diputuskan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dan berpedomankan titah Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik Covid-19 berakhir dan selepas imuniti kelompok dicapai, maka PRU15 perlu diadakan.

“(Ini) bagi membolehkan mandat mutlak diperolehi untuk membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat,” jelas Zahid.

Amanat kedua yang digariskan Zahid jelas merujuk kepada parti Bersatu pimpinan Muhyiddin yang sebahagiannya dianggotai oleh Ahli Parlimen UMNO yang melompat ke parti saingannya itu.

“Akar umbi menghendaki agar kerusi-kerusi tradisi UMNO dan kerusi-kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional pada PRU-14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi. 

“Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya setelah parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang,” tegas Zahid.

“Untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, Kerajaan dan parti akan saling lengkap-melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.

“Kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat yang amat meruncing ketika ini. 

“Manakala UMNO sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti untuk menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat,” katanya.