UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Kulat Hitam serang India; mampu bawa Maut

Pakar bedah terpaksa mengeluarkan mata, hidung dan rahang daripada pesakit bagi menghentikan kulit hitam merebak ke otak.

Dalam kesibukan dan tekanan menangani pandemik Covid-19, India kini terpaksa pula memberi perhatian serius terhadap peningkatan mendadak kes “kulat hitam” yang mampu membawa maut.

India mencatatkan lebih daripada 45,000 kes “kulat hitam” sejak dua bulan terakhir ini, kata Kementerian Kesihatan India.

Mengumumkan demikian di Parlimen pada 20 Julai, Menteri Muda Kesihatan India, Bharati Pravin Pawar, berkata lebih daripada 4,200 orang telah mati akibat kulat berkenaan yang nama saintifiknya adalah mucormycosis.

Jangkitan berkenaan sebelumnya dianggap sangat jarang tetapi kes telah meningkat semasa wabak dan biasanya menyerang pesakit yang pulih daripada Covid-19, lapor BBC. Ini adalah penyakit yang sangat agresif dan pakar bedah terpaksa mengeluarkan mata, hidung dan rahang daripada pesakit untuk menghentikannya merebak ke otak.

Setakat ini, angka kematian adalah lebih daripada 50 peratus.

Sebelum bermula wabak Covid-19, India hanya menangani 20 kes “kulat hitam”setahun di mana cuma orang yang berisiko tinggi akan menghidapnya, termasuk mereka yang mempunyai kadar gula tinggi di dalam darah, HIV atau penerima pemindahan  organ.

Pakar mengaitkan peningkatan yang berlaku baru-baru ini dengan penggunaan steroid yang berlebihan untuk merawat Covid-19.