UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Lee Zii Jia bawa keyakinan tinggi temui Momota

Mahu kalahkan Momota sekali lagi

Bintang badminton negara Lee Zii Jia bakal bertemu jaguh No.1 dunia dari Jepun, Kento Momota di Piala Sudirman esok dan pertembungan sudah pasti sengit.

Momota, juga juara dunia dua kali, pasti bertekad untuk bangkit daripada kekecewaan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan mengetuai cabaran Jepun di kejohanan yang bakal berlangsung di bandaraya Vantaa, 20km dari Helsinki, ibukota Finland.

Kejohanan Piala Sudirman akan berlangsung bermula 26 September hingga 3 Oktober ini dan Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama England, Mesir dan Jepun.

Sebelum ini Zii Jia menewaskan Momota ketika dalam perjalanan untuk menjulang kejuaraan All England.

“Memang saya mahu jumpa dia, sebab di All England adalah kejohanan pertama dan dia sudah lama tidak bermain. Saya percaya kali ini dia akan bangkit,” kata Zii Jia.

Zii Jia juga berkeyakinan Malaysia mampu melakukan kejutan ke atas pasukan besar seperti Jepun kerana saingan berpasukan adalah berbeza sama sekali dengan kejohananperseorangan.

Dia yang akan turun sebagai perseorangan pertama negara percaya, kekuatan Jepun tidak seperti dahulu selepas ketiadaan beberapa pemain seperti Takeshi Kamura, Keigo Sonoda dan Hiroyuki Endo.