UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Lembah Klang akhirnya maju ke Fasa 2, penduduk bebas rentas daerah

Daerah beli-belah Bukit Bintang KL dijangka meriah semula selepas sekatan pergerakan dilonggarkan

Setelah terkurung dalam daerah masing sejak  pertengahan Mei, penduduk Lembah Klang akhirnya bebas merentas daerah mulai Jumaat ini apabila dilongarkan sekatan pergerakan ke tahap Fasa 2.

Kelonggaran terbabit yang ditunggu-tunggu selepas Lembah Klang mencatatkan penurunan kes baru Covid-19, di samping kadar vaksinasi tinggi, melegakan perniagaan yang banyak terjejas akibat sekatan pergerakan oleh kerjaaan berikutan penularan virus maut itu.

Ia dijangka memberi impak besar kepada sektor runcit negara berikutan Lembah Klang (Kuala Lumpur dan Selangor) menyumbang kepada 60 peratus keseluruhan perolehan sektor itu.

Kompleks beli-belah di KL lengang akibat sekatan rentas daerah

Bagaimanapun, kelonggaran hanya diberikan kepada mereka yang lengkap dua dos. Namun demikian, sebanyak 71.6 peratus daripada penduduk dewasa di Lembah Klang telah menerima vaksin lengkap sehingga 7 September, berbanding purata kebangsaan 49.9 peratus.

Selain kelonggaran rentas daerah, pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri serta ibu bapa dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka berusia di bawah 18 tahun.

Dalam sektor perdagangan dan pengedaran, perniagaan kedai bunga atau nursery, kedai peralatan outdoor dan galeri perumahan dibenarkan semula juga mulai Jumaat.

Turut dibenarkan ialah aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan rumah inap bagi individu yang lengkap dua dos vaksin.

Aktiviti sukan indoor, kecuali gimnasium, kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin juga dibenarkan semula. Fasiliti sukan dan rekreasi komersil tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, dan hanya kepada pelanggan yang telah lengkap divaksin

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan kelonggaran itu berkata keputusan dibuat berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 pada hari Rabu pada (8 September 2021), bersetuju untuk membenarkan peralihan ke Fasa 2, bagi kawasan Lembah Klang iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berkuat kuasa 10 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Ismail turut mengumumkan kerajaan bersetuju memberi kelonggaran tambahan bagi negeri di bawah Fasa 2 dan 3.