UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Lembah Klang, Melaka dan Kedah beralih fasa PPN

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Lembah Klang, Melaka dan Kedah berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas berkenaan, berkata Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta Melaka beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3, manakala Kedah daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.

“Peralihan fasa ini dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki fasa 2, 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini,” katanya.