UPDATES MALAYSIA

UpToDate News

Makin jelas kelawar penyebab Covid-19 ?

Saintis menjumpai satu lagi petunjuk mengenai asal usul virus yang menyebabkan Covid-19. Mereka telah menemui kelawar yang tinggal di gua di Laos dipercayai membawa patogen sama dan mendakwa ia juga berupaya menjangkiti manusia secara langsung.

Penyelidik dari Pasteur Institute di Perancis dan National University of Laos berkata, hasil kajian mereka mendapati virus yang secara genetik hampir sama dengan SARS-CoV-2 ‘wujud di alam semula jadi’ dalam kalangan spesis kelawar yang hidup di gua batu kapur di utara Laos, yang terletak berhampiran China.

Daripada virus yang dikenal pasti daripada sampel ratusan kelawar yang diuji di Vientiane, tiga yang ditemukan menyerupai virus yang menyebabkan Covid-19, terutama dalam mekanisme penyambungan pada sel manusia, lapor Berita Harian yang memetik agensi berita AFP
.
“Idea utamanya adalah untuk mengenal pasti asal usul pandemik ini,” kata Marc Eloit yang mengetuai makmal patogen Pasteur Institute.

Eloit, yang mana pasukannya menganalisis sampel yang diperoleh berkata, terdapat perbezaan ketara antara virus yang dijumpai dengan SARS-CoV-2.

Namun katanya, kerja yang dijalankan menjadi ‘satu langkah ke depan’ dalam mengenal pasti asal usul Covid-19, mengesahkan teori bahawa coronavirus yang merebak ke serata dunia mungkin bermula daripada kelawar hidup.